Skip to main content

Malaysia

JPJ diiktiraf MBOR catat nilai bidaan RM91.2 juta menerusi nombor siri H

Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen JPJ dalam memperkasakan inovasi digital, meningkatkan penjanaan hasil negara serta memastikan manfaatnya dikembalikan kepada rakyat. - Foto fail/BERNAMA
Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen JPJ dalam memperkasakan inovasi digital, meningkatkan penjanaan hasil negara serta memastikan manfaatnya dikembalikan kepada rakyat. - Foto fail/BERNAMA
Advertisement

PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) selepas mencatatkan nilai keseluruhan bidaan sebanyak RM91.2 juta menerusi nombor pendaftaran kenderaan istimewa siri H. 

Dalam kenyataan hari ini, JPJ memaklumkan pengiktirafan dalam kategori “Highest Cumulative Bid Value for a Vehicle Registration Number Series” itu dicapai menerusi platform JPJeBid dengan penyertaan sebanyak 34,664 pembida.

"Sebanyak 8,223 nombor pendaftaran berjaya dibida serta bidaan tertinggi RM10.77 juta bagi nombor H1," menurut kenyataan itu.

Advertisement

Menurut JPJ, hasil bidaan nombor pendaftaran berkenaan menjadi lebih bermakna apabila ia dimanfaatkan melalui Bantuan Khas Kewangan RM1,000 kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah di seluruh negara.

Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen JPJ dalam memperkasakan inovasi digital, meningkatkan penjanaan hasil negara serta memastikan manfaatnya dikembalikan kepada rakyat.

Advertisement

"Pada masa sama, kejayaan ini turut membuktikan usaha JPJ dalam memastikan hasil yang dijana dapat dikembalikan kepada rakyat menerusi inisiatif bantuan yang memberi manfaat kepada golongan berkaitan," menurut kenyataan itu.

Nombor pendaftaran kenderaan istimewa siri H bersempena dengan Hari Malaysia dibuka untuk bidaan mulai 16 hingga 20 Sept, menawarkan angka 1 hingga 9999.

Nombor pendaftaran kenderaan istimewa itu merupakan siri nombor pendaftaran khas menggunakan huruf tunggal terakhir yang ditawarkan JPJ.

Huruf H dipilih sebagai simbolik kepada perkataan “harmoni”, selaras dengan mesej perpaduan dan keharmonian sempena sambutan Hari Malaysia.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement