Skip to main content

Malaysia

Pulau Pinang lancar dua pelan bandar pintar, perkukuh integrasi data dan teknologi

Chow (tiga, kiri) pada Majlis Perasmian Hari Perancangan Bandar Sedunia 2026 Peringkat Negeri Pulau Pinang di PWCC hari ini. - Gambar Bernama
Chow (tiga, kiri) pada Majlis Perasmian Hari Perancangan Bandar Sedunia 2026 Peringkat Negeri Pulau Pinang di PWCC hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

GEORGE TOWN: Pulau Pinang hari ini melancarkan dua pelan strategik pembangunan bandar pintar bagi memperkukuh integrasi data dan teknologi serta meningkatkan kecekapan pengurusan bandar ke arah pembangunan negeri yang lebih mampan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata Pelan Induk Bandar Pintar Negeri Pulau Pinang 2040 dan Pelan Tindakan Bandar Pintar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) 2030 akan menjadi landasan penting dalam menyelaras pelbagai inisiatif bandar pintar serta memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai rakyat.

“Saya menyambut baik pelancaran Pelan Induk Bandar Pintar Negeri Pulau Pinang 2040 pada hari ini sebagai hala tuju jangka panjang untuk menyelaras inisiatif bandar pintar serta memperkukuh integrasi data dan teknologi negeri.

Advertisement

“Pembangunan Penang Urban Intelligence Observatory (PUIO), State Data Exchange (SDX) dan Smart Penang Dashboard merupakan komponen strategik dalam membentuk ekosistem data negeri yang bersepadu bagi menyokong keputusan dan tindakan yang lebih tepat serta berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang 2026 di Penang Waterfront Convention Center (PWCC) di sini hari ini.

Advertisement

Chow berkata Pelan Tindakan Bandar Pintar MBPP 2030 pula menjadi landasan untuk menterjemahkan aspirasi pembangunan bandar pintar kepada inisiatif yang memenuhi keperluan penduduk.

Beliau berkata perancangan bandar yang strategik dan berasaskan data amat penting bagi menangani pelbagai cabaran termasuk banjir, kesesakan lalu lintas, pengurusan sisa pepejal serta peningkatan suhu bandar.

“Pulau Pinang terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju ekonomi negara apabila eksport negeri mencecah RM113.2 bilion pada September 2026, bersamaan kira-kira 52.6 peratus daripada keseluruhan eksport Malaysia.

“Bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, sebanyak 177 projek pembuatan diluluskan dengan nilai pelaburan RM17.32 bilion, yang berpotensi mewujudkan 19,337 peluang pekerjaan,” katanya.

Chow berkata pencapaian ekonomi itu perlu disokong perancangan bandar yang strategik, infrastruktur berkualiti dan pengurusan sumber mampan supaya pertumbuhan ekonomi turut diterjemahkan kepada peningkatan kualiti hidup rakyat.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri H’ng Mooi Lye berkata Pelan Induk Bandar Pintar Negeri Pulau Pinang 2040 yang disediakan PLANMalaysia Pulau Pinang menggariskan hala tuju pembangunan bandar pintar berteraskan tujuh sektor utama.

Beliau berkata sektor berkenaan merangkumi Smart People, Smart Living, Smart Environment, Smart Government, Smart Economy, Smart Mobility dan Smart Digital Infrastructure dengan penekanan terhadap penerapan teknologi, inovasi serta pendigitalan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan bandar dan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Menjelang 2040, kerajaan negeri berhasrat untuk membangunkan ekosistem bandar pintar yang lebih matang dan bersepadu melalui pengukuhan tadbir urus, infrastruktur digital, integrasi data serta penerapan teknologi pintar dalam perancangan dan pengurusan bandar,” katanya.

H’ng berkata Pelan Tindakan Bandar Pintar MBPP 2030 pula memberi tumpuan kepada kecekapan perkhidmatan perbandaran, pengurusan mobiliti, infrastruktur digital, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk.

Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang 2026 bertemakan “Bandar Kita Masa Depan Kita, Bersama Melakar Pulau Pinang Makmur, Berdaya Tahan dan Sejahtera” dianjurkan PLANMalaysia Pulau Pinang dengan kerjasama MBPP.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement