KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 7,414 notis (P22) atas pelbagai kesalahan jalan raya terhadap penunggang motosikal sepanjang pelaksanaan Ops Khas Tahun Baharu Cina 2026 (Ops TBC 2026) bermula 9 Feb lepas hingga setakat ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Operasi) JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi berkata, sepanjang tempoh sama, sebanyak 41,332 motosikal diperiksa di seluruh negara dengan 103 daripadanya disita atas pelbagai kesalahan.
Advertisement
"Selain itu, sebanyak 4,242 bas turut diperiksa di depoh dan terminal seluruh negara setakat pada Ahad dan daripada jumlah itu, sebanyak 779 slip pemeriksaan dikeluarkan.
"Dua bas pula disita atas ketidakpatuhan terhadap keperluan keselamatan dan perundangan yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas meninjau Ops TBC 2026 di Lembah Sireh, di sini, pada Isnin.
Beliau berkata, pihaknya turut melaksanakan operasi penyamaran sebagai penumpang bas bagi memantau tahap pematuhan undang-undang dan aspek keselamatan secara lebih menyeluruh, terutama ketika peningkatan pergerakan orang ramai sempena musim perayaan.
"Sebanyak 381 pemandu bas telah menjalani ujian saringan air kencing sepanjang operasi dijalankan, dengan tiga daripadanya didapati positif dadah dan tindakan lanjut telah diambil.
"Bagi kenderaan barangan, sebanyak 106 tindakan penguatkuasaan direkodkan di seluruh negara melibatkan kenderaan barangan, dengan lima negeri mencatatkan tindakan tertinggi, iaitu Negeri Sembilan iaitu 35 kes, Selangor (16), Pulau Pinang (15), Perak (12) dan Terengganu (sembilan)," katanya.
-- BERNAMA