PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Kementerian Pengangkutan melancarkan inisiatif baharu menerusi kerjasama dengan sebuah studio animasi tempatan bagi menghasilkan siri animasi yang bertujuan menyampaikan mesej keselamatan jalan raya secara lebih kreatif dan berkesan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pendekatan di luar kebiasaan itu merupakan usaha penting untuk memastikan mesej keselamatan jalan raya dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada golongan kanak-kanak serta memupuk kesedaran mengenainya sejak di bangku sekolah.
Menurut beliau, penggunaan medium animasi amat relevan dengan perkembangan semasa kerana ia mampu menarik minat golongan sasar dan memudahkan penerimaan mesej yang ingin disampaikan.
"Sasaran utama kita ialah golongan kanak-kanak supaya kesedaran mengenai keselamatan jalan raya dapat disemai sejak di bangku sekolah. Apabila mereka dewasa kelak, tahap kesedaran itu akan menjadi lebih tinggi.
"Pada masa yang sama, pendidikan keselamatan kepada kanak-kanak secara tidak langsung turut mampu mempengaruhi sikap ibu bapa mereka. Jika anak-anak sendiri menegur kesalahan di jalan raya, kita berharap ia dapat memberi kesan positif kepada ibu bapa agar lebih berhati-hati," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan (MOT) yang turut disertakan dengan sambutan Hari Kebangsaan 2026 peringkat kementerian di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Anthony menyambut baik pendekatan inovatif yang diperkenalkan JPJ itu dan berharap lebih banyak kandungan animasi berkaitan keselamatan jalan raya dapat dihasilkan pada masa depan bagi memperkukuh kempen kesedaran awam.
Dalam majlis sama, beliau turut merumuskan pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan MOT sepanjang beberapa bulan kebelakangan ini, selaras dengan semangat sambutan Bulan Kebangsaan.