KUALA SELANGOR: Dianggarkan seramai 260,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dalam kumpulan B40 yang tercicir akan dibantu melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam dan agensi pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) menerusi program Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia (JPKM). 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata ia selari dengan komitmen kerajaan dalam melahirkan modal insan berkemahiran dan berilmu menerusi peruntukan sebanyak RM52.6 bilion kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam Bajet 2022.

Ujarnya lagi, JPKM 2022 dijangka meneroka 50 kawasan di seluruh negara bagi mendekati golongan sasar pada tahun ini.

“Inisiatif ini telah terbukti memberi manfaat dan peluang khususnya kepada golongan yang bersasar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Saya tersentuh menonton video sebelum ini apabila menyaksikan ada pelajar yang mencuba sebanyak empat kali untuk ke menara gading tetapi tetap tidak berjaya, dan telah menunggu untuk tempoh yang agak lama.

"Alhamdulillah, menerusi JPKM pelajar itu telah diterima masuk dan menyambung pelajaran di Giat Mara,” katanya ketika berucap merasmikan program JPKM 2022 anjuran Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) di Dewan Dato’ Penggawa Permatang, di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar; Ketua Pegawai Eksekutif Prihatin, Datuk Aizuddin Ghazali; serta Pengerusi Jawatankuasa Induk JPKM, Tan Sri Sahol Hamid Abu Bakar.

Di daerah Kuala Selangor, sebanyak 19 institusi pendidikan tinggi dan kemahiran teknikal mengikuti JPKM 2022 pada kali ini.

JPKM 2022 merupakan inisiatif dan projek khas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam membuka peluang kedua kepada akses pendidikan tinggi negara kepada seluruh masyarakat terutamanya penduduk di kawasan luar bandar.

Ia merupakan kesinambungan daripada Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) yang dianjurkan pada 2016 hinga 2018.

JPKM 2022 memberi peluang kepada pelajar yang gagal memasuki universiti berikutan penilaian UPU Online, yang tidak mengambil kira status keluarga, tempat tinggal dan sebagainya dalam membuat keputusan.

Sementara itu, Noh berkata, seramai 428 pelajar lepasan SPM dan STPM diberi peluang menerima tawaran daripada pelbagai institusi pendidikan tinggi menerusi JPKM Tanjung Karang.

Selain itu, seramai 120 pelajar turut layak menerima bantuan awal pengajian sumbangan Yayasan Petronas dan bantuan cermin mata percuma sumbangan Yayasan Hasanah.

"Matlamat kita adalah untuk membantu golongan B40 yang mungkin ada tercicir, dan ini program yang sangat baik.

"Ini menunjukkan Keluarga Malaysia bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi tetapi juga pendidikan golongan B40 dengan kerjasama Yayasan Prihatin," ujarnya.