MALAYSIA
JPPKK perkasa AI, pastikan lepasan TVET sedia hadapi cabaran 4IR

Dr Zainai (tengah) ketika hadir pada Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Perak 2025 di Dewan Jubli Perak Politeknik Ungku Omar hari ini. - Gambar Bernama
IPOH: Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) akan memastikan penuntut lepasan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kekal relevan serta bersedia menghadapi cabaran era Revolusi Perindustrian Keempat (4IR).
Penasihat Fakulti Kecerdasan Buatan Universiti Teknologi Malaysia Prof Emeritus Datuk Ir Ts Dr Zainai Mohamed berkata pelbagai inisiatif strategik telah dilaksanakan bagi mencapai matlamat tersebut.
Beliau berkata antaranya pengintegrasian teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) robotik, realiti terimbuh (AR), realiti maya (VR) dan pengkomputeran awan secara progresif ke dalam kurikulum dan amalan pengajaran serta pembelajaran (PdP).
"Usaha ini amat signifikan dalam memastikan pelajar bukan sahaja celik digital, malah fasih digital, mampu menguasai, membina serta menyesuaikan kemahiran teknologi digital mengikut keperluan industri dan persekitaran kerja sebenar."Apa yang lebih membanggakan, pendekatan ini turut memberi ruang pembelajaran secara langsung kepada pelajar untuk mengadaptasi pengalaman dunia digital secara menyeluruh," katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Perak 2025 di Dewan Jubli Perak, Politeknik Ungku Omar di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Zainai berkata jalinan erat antara Kolej Komuniti dan komuniti setempat dapat dilihat dengan jelas menerusi pelaksanaan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) yang bukan sahaja dilaksanakan secara konsisten bahkan terus diperkukuh dari tahun ke tahun.
Beliau berkata ramai peserta PSH berjaya meningkatkan taraf sosioekonomi, dengan sebahagian daripadanya mencatatkan pendapatan sehingga RM10,000 sebulan.
"Sebagai usaha berterusan memastikan tiada golongan tercicir daripada arus pembangunan negara, Kolej Komuniti turut menyediakan peluang latihan TVET kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan istimewa seperti pelajar maahad tahfiz," katanya.
Seramai 973 graduan daripada 13 Kolej Komuniti di Perak menerima diploma dan sijil dalam pelbagai program pada majlis konvokesyen sehari.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami