KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) Sabah hari ini memuktamadkan Pelan Pembangunan Penjanaan Elektrik Negeri Sabah (2023-2027).

Perkara itu dimaklumkan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad menerusi satu kenyataan media pada Isnin.

Ujarnya, mesyuarat yang pertama kali diadakan itu turut melibatkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang berlangsung di Kota Kinabalu. 

"Ini merupakan kali pertama, Mesyuarat JPPPET Sabah diadakan di Sabah, khas untuk membincangkan berkenaan pembekalan elektrik di Sabah.

"Mesyuarat pada hari ini telah memuktamadkan Pelan Pembangunan Penjanaan Elektrik Negeri Sabah 2023 hingga 2027 dan menetapkan perancangan penjanaan untuk negeri Sabah bagi tempoh jangka pendek dan sederhana dengan mengambil kira penilaian unjuran permintaan, opsyen teknologi penjanaan, kecukupan bahan api dan kos pembekalan yang paling optimum," jelasnya.

Tambah Nik Nazmi, Jawatankuasa itu turut dianggotai wakil daripada kementerian, agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri Sabah serta Sabah Electricity Sdn Bhd.

Ujarnya lagi, dengan adanya pelan pembangunan itu, ditambah pelaksanaan projek loji janakuasa yang telah dirancang, ia mampu meningkatkan daya harap sistem grid Sabah serta meminimumkan pelucutan beban.

"Kerajaan Persekutuan dan juga Kerajaan Negeri Sabah sentiasa komited untuk membantu menyelesaikan masalah kekurangan penjanaan elektrik di Sabah," katanya lagi.