KUALA LUMPUR: Memperkasakan siasatan bagi memastikan kadar pertuduhan yang lebih tinggi dapat dicapai antara tiga fokus utama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) tahun ini.

Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata selain itu, pihaknya akan mengolah semula jabatan berkenaan dengan memberi fokus kepada masa hadapan dan meningkatkan ilmu pengetahuan pegawai penyiasat.

Beliau berkata ketiga-tiga fokus itu sebagai menghadapi cabaran kewujudan pelbagai modus operandi jenayah komersial yang tertumpu kepada penggunaan lebih banyak aplikasi digital susulan peralihan gaya hidup.

Menurut Ramli isu berkenaan tidak hanya berlaku di Malaysia, sebaliknya turut menjadi kebimbangan di kebanyakan negara maju.

"JSJK sedia maklum bahawa dasar kerajaan adalah untuk tidak menambah bilangan penjawat awam.

"Oleh itu, pengolahan dalaman keanggotaan JSJK adalah pendekatan terbaik bagi mengimbangi trend peningkatan jenayah komersial terkini dan masa hadapan," katanya kepada Bernama.

Menurut Ramli seseorang pegawai penyiasat jabatan terbabit perlu meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan kebolehan melalui latihan bersesuaian.

Beliau berkata perkara itu penting memandangkan 2024 dikatakan sebagai tahun kepantasan teknologi yang akan mengubah landskap kehidupan secara keseluruhannya.

Hal ini juga, katanya akan menjadikan siasatan yang dijalankan menjadi lebih kompleks dan memerlukan kepakaran yang spesifik.

"Selain itu, JSJK juga menyeru penglibatan rakan media serta setiap lapisan masyarakat untuk bersama-sama menyebarkan informasi berkaitan jenayah komersial agar dapat dijadikan benteng bagi mengelak diri menjadi mangsa penipuan," katanya.

-- BERNAMA