KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) memohon tambahan 1,000 perjawatan bagi memperkukuh kapasiti pengoperasian, termasuk penubuhan beberapa unit khas untuk menangani kegiatan sindiket pengedaran dadah yang semakin kompleks.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, permohonan itu dibawa menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan diluluskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri bulan lalu.
Bagaimanapun, katanya, pelaksanaannya perlu diselaraskan dan dibincangkan terlebih dahulu dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Menurutnya, pertambahan anggota diperlukan bagi membolehkan jabatan itu menubuhkan beberapa unit baharu, termasuk pasukan siasatan dalam talian serta unit khas bagi menangani kes membabitkan rangkaian antarabangsa.
"Kita perlukan kekuatan yang lebih kerana beberapa unit baharu perlu ditubuhkan seperti siasatan dalam talian yang memerlukan pemantauan, selain unit siasatan khas bagi kes yang membabitkan rangkaian antarabangsa.
"Begitu juga pasukan khas untuk memantau perkhidmatan kurier dan penyedia perkhidmatan, selain pasukan khas bagi memantau kegiatan pengedaran melalui kargo yang membabitkan kontena," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Bahagian Risikan dan Operasi JSJN di sini, pada Rabu.
Hussein berkata, kekangan anggota ketika ini antara faktor yang mengehadkan jumlah operasi JSJN, justeru pertambahan perjawatan khususnya di peringkat daerah dan kontinjen mampu meningkatkan keberkesanan usaha membanteras kegiatan pengedaran dadah.
Katanya, dalam tempoh 10 bulan tahun ini, JSJN merampas hampir 70 tan dadah berbanding 89 tan sepanjang tahun lalu.