Skip to main content

Politik

PRN Sarawak: Nanta sahkan tidak bertanding

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada temu bual bersama wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) selepas menghadiri rakaman program Bernama TV Ruang Bicara di Wisma Bernama, hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada temu bual bersama wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) selepas menghadiri rakaman program Bernama TV Ruang Bicara di Wisma Bernama, hari ini. - Foto BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kapit Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengesahkan beliau kekal berkhidmat di peringkat Parlimen dan tidak akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak bulan depan.

Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu berkata spekulasi berhubung hasratnya bertanding di peringkat DUN sebelum ini timbul susulan cadangan pewujudan kerusi baharu iaitu DUN Melekun di bawah Parlimen Kapit. 

Bagaimanapun, Menteri Kerja Raya itu berkata persempadanan kerusi baharu berkenaan tidak sempat diguna pakai pada PRN kali ini kerana belum diwartakan. 

Advertisement

"Walaupun DUN Sarawak sudah meluluskan tambahan kerusi, ia (kerusi baharu) belum dibawa ke Dewan Rakyat untuk pengesahan. Jadi tidak sempat diguna dalam PRN ini, maka saya tidak ada tempatlah (di DUN)," katanya ketika ditemui selepas menghadiri rakaman program terbitan Bernama TV di Wisma Bernama di sini hari ini. 

Pada 7 Julai 2025, DUN Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 yang menyaksikan pertambahan 17 kerusi baharu, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 99 kerusi DUN.

Advertisement

Bilangan kerusi DUN Sarawak telah ditambah secara berkala daripada 48 pada 1969, kepada 56 pada 1985, 62 pada 1995, 71 pada 2005 dan 82 pada 2014.

Nanta yang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kapit selama enam penggal berkata ketiadaan peluang bertanding di peringkat DUN bukan satu isu kerana keutamaannya adalah untuk terus memberikan khidmat terbaik kepada rakyat menerusi mandat Parlimen sedia ada.

Sebelum ini, beliau pernah menyuarakan hasrat untuk tidak mempertahankan kerusi Parlimen Kapit pada Pilihan Raya Umum akan datang bagi memberi laluan kepada peralihan kepimpinan, di samping membuka ruang untuk berkhidmat di peringkat negeri sekiranya kerusi DUN Melekun diwujudkan.

Ditanya mengenai laporan bahawa GPS bakal mempertaruhkan 10 peratus calon muka baharu pada PRN berkenaan, Nanta enggan mengulas lanjut dan menegaskan ketetapan tersebut tertakluk kepada keputusan pucuk pimpinan parti.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Dis sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak, manakala penamaan calon pada 28 Nov dan pengundian awal pada 8 Dis.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement