Skip to main content

Malaysia

J&T Express sasar pasang 20 lokar bungkusan pintar di stesen LRT

KUALA LUMPUR, 6 Ogos -- Majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara J&T Express, Pride Prasarana dan Yoyi Station di Ibu Pejabat J&T Express, KL Eco City hari ini.  Majlis dihadiri (dari kiri) Pengurus Besar Pride, Ashok Panchalingam, Ketua Pegawai Eksekutif Pride, Syed Redza Algadrie Syed Hassan, Naib Presiden J&T Express, Vincent Low, Pengarah Operasi J&T Express, Song Long, Pengurus Pengurusan Yoyi Station, Wang Hui dan Pengurus Yoyi Station, Xiao Qing Long (kanan).  -- fotoBERNAMA (2026)
Low (tiga, kiri) dan Syed Redza (dua, kiri) ketika hadir pada majlis menandatangani MoU antara J&T Express, Pride Prasarana dan Yoyi Station di Ibu Pejabat J&T Express, KL Eco City, Kuala Lumpur, 6 Ogos 2026. --fotoBERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: J&T Express Malaysia menyasarkan untuk memasang 20 lokar bungkusan pintar di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) terpilih yang mempunyai trafik tinggi dan akan memberikan manfaat kepada kira-kira 80,000 penumpang.

Naib Presidennya Vincent Low berkata inisiatif yang dilaksanakan dengan kerjasama Prasarana Integrated Development Sdn Bhd (PRIDE) dan YoYi Station itu direka bagi menyediakan pilihan perkhidmatan kendiri yang lebih mudah kepada pengguna pengangkutan itu untuk pengambilan dan penyerahan bungkusan.

Lokar bungkusan pintar itu menyokong transaksi dua hala, membolehkan pelanggan mengambil bungkusan yang diterima dan menghantar bungkusan dengan mengikut arahan pada skrin.

Low berkata inisiatif itu melengkapkan perkhidmatan utama penghantaran dari pintu ke pintu J&T Express Malaysia dengan menawarkan fleksibiliti yang lebih luas ketika jumlah bungkusan terus meningkat.

“Kami mengendalikan secara purata tiga juta bungkusan setiap hari di Malaysia. Walaupun penghantaran dari pintu ke pintu kekal sebagai perkhidmatan utama, menyediakan penyelesaian penghantaran yang fleksibel penting memandangkan jumlah bungkusan terus meningkat,” katanya. 

Low berkata demikian pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara J&T Express Malaysia, YoYi Station dan PRIDE di sini semalam.

Beliau berkata fasa pertama pelaksanaannya melibatkan pemasangan lokar bungkusan pintar di Stesen LRT Kerinchi dan LRT Bangsar yang dipilih kerana trafik penumpang yang tinggi bagi memaksimumkan akses dan kemudahan tersebut.

Setiap lokar bungkusan pintar boleh memuatkan sehingga 200 petak, sekali gus menyediakan kaedah yang lebih fleksibel dan mudah kepada rakyat Malaysia untuk mengambil dan menghantar bungkusan sebagai sebahagian daripada perjalanan harian mereka.

Beliau berkata syarikat itu sentiasa meningkatkan keupayaan teknologinya untuk memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berubah dengan lebih baik serta menambah baik pengalaman penghantaran secara keseluruhan.

Pada masa ini, YoYi Station mengendalikan kira-kira 3,000 pusat pengambilan dan penyerahan (PUDO) di seluruh negara yang membolehkan pelanggan mengambil bungkusan mereka di lokasi ditetapkan.

Beliau berkata syarikat itu menjangkakan kadar penggunaan pengambilan kendiri akan meningkat daripada lima peratus pada masa ini kepada 10 peratus menjelang akhir tahun.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PRIDE Syed Redza Algadrie Syed Hassan berkata selain lokar fizikal, kerjasama itu turut memanfaatkan platform MyRapid Pulse untuk menyampaikan promosi eksklusif J&T Express, kempen libat urus bersasar dan perkhidmatan digital nilai tambah lain.

“Ini membolehkan kami mewujudkan pengalaman yang lebih terhubung dan bermanfaat untuk pelanggan selain memperkukuh libat urus dalam ekosistem Prasarana. Inisiatif ini menandakan permulaan kepada kerjasama yang lebih luas,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

Must Watch Video

Advertisement