Jualan produk yang dihasilkan banduan di seluruh negara dijangka meningkat kepada RM20 juta tahun ini berbanding RM17 juta tahun lepas berikutan kesungguhan mereka menghasilkan produk berkualiti tinggi dan memenuhi cita rasa pengguna.

Ketua Pengarah Penjara Malaysia Datuk Seri Zulkifli Omar berkata antara produk yang mendapat permintaan tinggi ialah hasil pertanian, ikan keli, makanan sejuk beku, kuih raya, hasil tenunan, songket, perabot dan hasil kraftangan yang lain.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Penjara Malaysia Zon Timur di sini hari ini.

Seramai 183 petugas jabatan menerima anugerah itu yang disampaikan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Dalam Negeri, Hasanah Abdul Hamid.

Sementara itu, beliau berkata sehingga kini 40 kursus kemahiran ditawarkan kepada banduan melalui Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dengan modul Sijil Kemahiran Malaysia( SKM) bertujuan memberi pendedahan kepada banduan memiliki kemahiran tertentu yang akan memudahkan mereka mendapat kerja sebaik dibebaskan kelak.

Selain itu kejayaaan jabatan mengurangkan kadar kemasukan berulang banduan ke penjara kepada 7.9 peratus sahaja adalah hasil pelaksanaan program pemulihan di luar tembok sejak tahun 2008 seperti sistem parol, pusat kehadiran wajib bersama komuniti dan rumah perantaraan.

"Dahulu, banduan akan dibebaskan terus kepada masyarakat sebaik tamat tempoh hukuman, namun sejak 2008, mereka terus dibimbing dengan program-program yang telah diatur dan terbukti banduan kini mempunyai ketahanan mental dan spiritual yang lebih kukuh bagi mengelak mereka terus mengulangi kesilapan serupa.

"Untuk itu, jabatan akan membina lima lagi rumah perantaraan di Pulau Pinang, Selangor, Pahang, Kelantan dan Johor sebelum akhir tahun ini untuk memastikan banduan benar-benar bersedia sebelum kembali ke pangkuan masyarakat," katanya.