Jumlah bantuan SARA, STR perlu diselaras dengan kos sara hidup setiap daerah - Penganalisis

Juruwang melakukan semakan bantuan SARA yang dikreditkan melalui MYKad. - foto/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Jumlah bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) perlu diselaraskan dengan kos sara hidup rakyat yang berada di daerah yang berbeza-beza dalam negara.
Ringkasan AI
- Penyaluran SARA dan STR disaran disesuaikan mengikut kos sara hidup setiap daerah kerana kos bandar jauh lebih tinggi berbanding luar bandar.
- Penyesuaian penting kerana bantuan kini hanya berdasarkan pendapatan, tanpa mengambil kira perbelanjaan isi rumah terutama golongan miskin bandar.
- PMKS mendapat manfaat melalui peningkatan perbelanjaan rakyat, namun bimbang kos operasi seperti kenaikan gaji minimum dan perlukan akses pembiayaan yang lebih mudah.
"Jabatan Statistik Negara (DOSM) ada keluarkan satu laporan Indikator Kos Sara Hidup yang menggunakan Kuala Lumpur sebagai penanda aras. Kita dapat lihat kos sara hidup di bandar adalah sangat tinggi berbanding di luar bandar.
“Mungkin penyesuaian daripada segi pemberian SARA dan STR boleh disesuaikan dengan kos sara hidup. Ketika ini bantuan disesuaikan dengan pendapatan kasar isi rumah. Kita tidak lihat pula perbelanjaan kasar mereka ini pula.
“Oleh itu, ada keperluan untuk padankan untuk benar-benar bantu rakyat khususnya miskin bandar,” katanya dalam program Dialog Poket Rakyat pada Jumaat.
Dalam temu bual sama, Presiden Kebangsaan Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Malaysia), Dr. Chin Chee Seong pula melihat kepada kejayaan program SARA dan STR dalam konteks sumbangannya kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.
Menurutnya, inisiatif berkenaan telah menyumbang kepada pendapatan PMKS dan seterusnya dicerminkan dalam data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Tetapi beliau menzahirkan kebimbangan pengusaha terhadap kemungkinan peningkatan kos operasi dalam aspek berbeza.
“Kita dengar mungkin kerajaan akan naikkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000. Kita risau kerana kos naik, insentif tidak banyak.
“Kita harap kerajaan akan sediakan insentif pembiayaan kepada PMKS yang mudah untuk dimohon dan diluluskan.
“Kita bukan hendak jumlah pembiayaan yang besar. Pembiayaan sehingga RM100,000 sudah cukup untuk beri kelegaan. Kerajaan juga jangan sebabkan sebagai kenaikan kos perniagaan,” jelasnya.
Bagi tahun 2026, peruntukan bagi pelaksanaan SARA dan STR berjumlah RM15 bilion bagi manfaat sekitar 9 juta penerima.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah dalam sidang media pada Jumaat berkata SARA Bulanan 2026 telah mula disalurkan pada 9 Januari 2026 melibatkan 5 juta penerima yang terdiri daripada 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tanpa pasangan.
Manakala bagi SARA kategori bujang akan mula dikreditkan pada 16 Januari melibatkan 3.1 penerima.
Tambahnya, sasaran kedai runcit kecil yang terlibat dalam program SARA juga akan ditingkatkan kepada 10,000 buah menjelang akhir 2026, berbanding lebih 3,000 pada akhir 2025.
Dalam pada itu, jelas beliau, STR fasa tahun 2026 akan mula disalurkan pada 20 Januari 2026, melibatkan peruntukan sebanyak RM1.1 bilion yang memberi manfaat kepada 5 juta penerima isi rumah dan warga emas.
Dialog Poket Rakyat: Kesinambungan STR & SARA 2026 | Pacu Kuasa Rakyat?
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


