KUALA LUMPUR: Jumlah dagangan Malaysia pada Mac 2026 berkembang 9.3 peratus tahun ke tahun kepada RM273.0 bilion berbanding RM249.8 bilion pada tempoh sama tahun lepas, didorong pertumbuhan eksport dan import yang lebih kukuh, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
DOSM berkata eksport Malaysia meningkat sebanyak 8.3 peratus kepada RM148.8 bilion, manakala import meningkat 10.4 peratus kepada RM124.2 bilion. Lebihan dagangan pula turun 0.9 peratus kepada RM24.6 bilion pada Mac 2026.
Advertisement
Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan eksport disokong oleh pertumbuhan eksport semula dan eksport domestik.
“Eksport semula, yang menyumbang 25.5 peratus daripada jumlah eksport, meningkat 38.3 peratus tahun ke tahun kepada RM37.9 bilion.
“Sementara itu, eksport domestik yang merangkumi 74.5 peratus daripada jumlah eksport, berkembang 0.9 peratus kepada RM110.9 bilion,” katanya dalam satu kenyataan.
Berbanding Februari 2026, eksport, import, jumlah perdagangan dan lebihan dagangan masing-masing meningkat 13.6 peratus, 8.7 peratus, 11.3 peratus dan 47.0 peratus, katanya.
Mohd Uzir berkata peningkatan eksport didorong terutamanya oleh penghantaran lebih tinggi ke Amerika Syarikat (+RM4.2 bilion), Taiwan (+RM3.1 bilion), Hong Kong (+RM1.8 bilion), Vietnam (+RM1.6 bilion), Mexico (+RM1.5 bilion), Korea Selatan (+RM1.4 bilion) dan China (+RM1.1 bilion).
Sementara itu, beliau berkata import disokong oleh peningkatan kemasukan dari China (+RM6.9 bilion), Singapura (+RM3.6 bilion), Korea Selatan (+RM1.5 bilion), Vietnam (+RM1.4 bilion), Taiwan (+RM1.4 bilion), Amerika Syarikat (+RM1.0 bilion) dan Switzerland (+RM777.0 juta).
“Pertumbuhan eksport dipacu oleh peningkatan penghantaran produk elektrik dan elektronik (E&E) (+RM9.4 bilion), keluaran perkilangan lain (+RM2.4 bilion), produk petroleum (+RM1.8 bilion), barangan optik dan saintifik (+RM1.5 bilion), barangan perkilangan logam (+RM1.2 bilion) serta bijih logam dan serpihan logam (+RM1.1 bilion).
"Pada masa sama, import mencerminkan aliran masuk lebih tinggi bagi produk E&E (+RM12.2 bilion), jentera, kelengkapan dan peralatan (+RM2.0 bilion), bijih logam dan serpihan logam (+RM1.1 bilion), barangan perkilangan logam (+RM1.0 bilion), barangan optik dan saintifik (+RM745.4 juta) serta produk petroleum (+RM494.3 juta),” katanya.
Mohd Uzir berkata mengikut penggunaan akhir, import barangan modal melonjak 24.7 peratus kepada RM16.3 bilion, mencerminkan permintaan yang lebih kukuh, manakala barangan penggunaan susut 7.8 peratus kepada RM9.0 bilion dan import barangan perantaraan menurun 1.1 peratus kepada RM58.3 bilion berbanding Mac 2025.
Bagi tempoh Januari hingga Mac 2026, jumlah dagangan meningkat 10.4 peratus kepada RM789.8 bilion, dengan eksport naik 12.7 peratus dan import meningkat 7.7 peratus, manakala lebihan dagangan melonjak 54.0 peratus kepada RM63.2 bilion, katanya.
-- BERNAMA