PUTRAJAYA: Bilangan kediaman siap dibina tidak terjual turun kepada 27,746 unit bernilai RM18.41 bilion pada akhir Disember tahun lepas berbanding 36,863 unit bernilai RM22.79 bilion pada penghujung 2021.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata Johor mengekalkan jumlah dan nilai kediaman tidak terjual tertinggi sebanyak 5,258 unit bernilai RM4.33 bilion, diikuti Selangor dengan 3,698 unit bernilai RM2.74 bilion manakala Pulau Pinang (3,593 unit bernilai RM2.74 bilion).

"Kediaman berharga dalam lingkungan RM500,000 hingga RM1 juta mencatat jumlah tidak terjual tertinggi sebanyak 9,323 unit bernilai RM6.29 bilion atau 33.6 peratus daripada keseluruhan kediaman siap dibina yang tidak terjual.

"Bagi kediaman berharga di bawah RM300,000 pula sebanyak 6,509 unit di seluruh negara dengan nilai RM1.34 bilion dan berharga RM300,000 hingga RM500,000 pula berjumlah 8,128 unit dengan nilai RM3.29 bilion," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) di sini, hari ini.

Ahmad berkata laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) mengenai kediaman siap dibina tidak terjual juga menunjukkan masih terdapat banyak kediaman mampu milik yang boleh dibeli rakyat.

"Ada hartanah di bawah (harga) RM300,000 yang masih banyak tidak terjual dan ini sebenarnya memberi peluang untuk membeli hartanah mampu milik," katanya.

Ditanya mengenai punca berlakunya kediaman siap dibina tidak terjual, Ahmad berkata ini termasuk faktor kemampuan rakyat membeli rumah serta penawaran rumah di lokasi yang tidak menepati permintaan.

Melaka sebaliknya muncul sebagai negeri yang menepati nisbah harga rumah mampu milik dengan keupayaan pembeli, kata beliau.

"Di negeri lain sepatutnya harga lebih rendah...tapi apa berlaku di pasaran adalah lebih tinggi. Contohnya, keupayaan di negeri itu RM200,000 namun yang dibina RM250,000.

"Pemaju perumahan ini perlu membuat penilaian kemampuan rakyat di negeri terbabit," katanya.

-- BERNAMA