KUALA LUMPUR: Malaysia mengalami jumlah kerugian RM622.4 juta akibat bencana banjir di seluruh negara kecuali Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya tahun lalu berbanding RM6.1 bilion pada tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hari ini.

Dalam laporan Khas Mengenai Kesan Banjir di Malaysia 2022, jabatan itu memaklumkan kerugian RM622.4 juta tahun lalu adalah bersamaan 0.03 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menurut jabatan itu, kajian itu bertujuan untuk menilai jumlah kerugian dan kerosakan akibat banjir tahun lalu termasuk nilai kerosakan aset dan infrastruktur awam, tempat tinggal, kenderaan, perniagaan dan premis industri.

Pecahan jumlah kerugian tahun lalu adalah terdiri daripada aset awam dan infrastruktur sebanyak RM232.7 juta, tempat kediaman (RM157.4 juta), pertanian (RM154.5 juta), premis perniagaan (RM50.3 juta), kenderaan (RM18.8 juta) dan sektor pembuatan sebanyak RM8.7 juta.

"Dari segi tempat kediaman, Terengganu mencatatkan kerugian tertinggi berjumlah RM84.2 juta, diikuti Kelantan RM44.4 juta dan Kedah RM15.3 juta manakala kenderaan pula, Kedah mengalami kerugian tertinggi iaitu RM11.5 juta,Terengganu (RM3.4 juta) dan Kelantan sebanyak RM2 juta," menurut kenyataan itu.

DOSM memaklumkan dalam sektor pembuatan, Terengganu mencatatkan kerugian tertinggi berjumlah RM7.1 juta diikuti Kelantan (RM1.2 juta) dan Sabah sebanyak RM300,000.

Di samping itu, Terengganu turut mencatatkan jumlah kerugian tertinggi dalam sektor premis perniagaan iaitu RM25.3 juta diikuti Kelantan (RM18.3 juta) dan Kedah sebanyak RM2.8 juta.

Kajian penilaian laporan khas itu dilakukan dari 8 Jan hingga 31 Dis tahun lalu melibatkan semua negeri kecuali Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya.

-- BERNAMA