PUTRAJAYA: Jumlah kes demam denggi menurun kepada 3,268 kes pada Minggu Epidemiologi ke-9 (ME9) iaitu dari 25 Feb hingga 2 Mac lepas berbanding 3,572 kes pada minggu sebelum itu.

Ketua Pengarah KKM Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata tiga kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada minggu berkenaan.

"Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME9 adalah sebanyak 32,381 kes berbanding 19,450 kes bagi tempoh sama pada 2023," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu terdapat 19 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 15 kematian bagi tempoh sama pada 2023.

Beliau berkata bilangan lokaliti lokasi panas yang dilaporkan pada ME9 adalah sebanyak 184 lokaliti berbanding 196 lokaliti pada minggu sebelumnya.

Dr Muhammad Radzi berkata daripada 184 lokaliti itu sebanyak 153 lokaliti di Selangor, 13 lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, lima di Pulau Pinang, masing-masing empat di Negeri Sembilan dan Sabah, dua lokaliti di Kedah, satu lokaliti masing-masing di Perak, Johor dan Sarawak.

Beliau berkata bagi survelan chikungunya, tiada kes direkodkan pada ME9 dan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini ialah enam kes.

Tiada wabak chikungunya dilaporkan pada ME9, katanya.

Sementara itu bagi survelan zika, sebanyak 402 sampel darah dan satu sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.

"Sesi persekolahan 2024/2025 akan bermula pada Mac 2024 dan semua warga sekolah akan kembali bertugas di samping pelajar yang akan memulakan sesi persekolahan yang baharu.

"Memandangkan sekolah telah ditutup selama sebulan, keadaan persekitaran sekolah mungkin telah menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes yang boleh mengancam kesihatan para pelajar, guru-guru dan tenaga kerja sekolah," katanya.

Justeru Dr Muhammad Radzi menyeru pihak sekolah serta syarikat yang memegang kontrak pembersihan di sekolah supaya mengambil langkah untuk mengekang penularan jangkitan denggi di sekolah.

-- BERNAMA