KUALA LUMPUR: Aplikasi pendidikan antirasuah “Maccampus” akan dilancarkan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sempena Program Literasi Kewangan, Integriti dan Antirasuah Mahasiswa 2026 pada Sabtu ini.
Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Samsul Salip berkata aplikasi itu dibangunkan sebagai platform pembelajaran yang menyediakan pelbagai maklumat berkaitan integriti, antirasuah serta penyelidikan untuk dimanfaatkan golongan mahasiswa.
“Turut dimuatkan dalam aplikasi itu ialah perkongsian hasil penyelidikan yang dilaksanakan SPRM dengan kerjasama universiti. Kajian ini boleh dijadikan rujukan oleh pelajar untuk tugasan akademik atau penyediaan tesis sekiranya bersesuaian dengan bidang pengajian mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Fokus 30 bertajuk SPRM Gembleng Gen Z Agen Basmi Rasuah, di sini hari ini.
Samsul berkata Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu Datuk Seri Abdul Halim Aman dijadualkan hadir pada program berkenaan yang mendapat kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam pada itu, beliau memaklumkan program Debat Antirasuah Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM tahun ini akan diadakan di Universiti Malaya (UM) pada Oktober depan, sekali gus meneruskan tradisi penganjurannya di institusi yang muncul juara edisi sebelumnya.
Menurutnya, pertandingan itu lazimnya disertai kira-kira 40 pasukan daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh negara dengan peserta diberikan topik berkaitan integriti, tadbir urus serta usaha pencegahan rasuah.
Sementara itu, mengulas penamatan tayangan filem Konspirasi yang berkisar tentang SPRM, beliau berkata pihaknya hanya mengetahui perkara itu menerusi laporan media dan kenyataan yang dikeluarkan pihak penerbit.
Bagaimanapun, beliau berkata walaupun hanya sempat ditayangkan selama tujuh hari, pendedahan mengenai peranan SPRM sedikit sebanyak meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap agensi berkenaan.
Samsul berkata SPRM telah memberikan kerjasama kepada pihak penerbit yang berhasrat menghasilkan filem berkaitan agensi itu, termasuk berkongsi maklumat mengenai beberapa aspek operasi yang boleh diketengahkan kepada umum.
“Kita berkongsi antaranya bagaimana SPRM bekerjasama dengan agensi lain dalam menjalankan siasatan, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam siasatan serta kewujudan pasukan Skuad Taktikal Antirasuah (ACTS) SPRM yang terlibat dalam pengendalian kes berprofil tinggi dan berisiko.
“Respons yang kami terima amat baik. Orang ramai kini mengetahui bahawa SPRM bukan hanya menjalankan siasatan seperti yang biasa dilihat, tetapi turut mempunyai pasukan khas yang melaksanakan tugasan tertentu,” katanya.
Ahad lepas, syarikat penerbitan Elepfilm Entertainment Sdn Bhd memaklumkan keputusan menghentikan tayangan filem Konspirasi di pawagam seluruh negara dibuat secara dalaman oleh pihak pengurusan tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.
-- BERNAMA