KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun maut selepas motosikal yang dinaikinya bersama ibu bapanya terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Cheras menghala ke Jalan Loke Yew, di sini, pagi Rabu.
Bapa mangsa dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian pinggang dan kedua-dua kaki, manakala ibunya cedera pada tangan kanan dan kini menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati penunggang motosikal berusia 35 tahun itu yang membonceng isteri serta anak perempuannya dipercayai mencelah antara lorong kiri dan kanan ketika trafik sesak sebelum hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang sebuah Honda CR-V di lorong kanan.
Beliau berkata, sebuah lagi motosikal yang berada di belakang tidak sempat mengelak sebelum merempuh motosikal berkenaan dan terjatuh di atas jalan.
Akibat kejadian itu, kanak-kanak terbabit mengalami kecederaan parah pada kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.