BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) merancang operasi terbesarnya setakat ini bagi menangani kebakaran hutan pada musim panas, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen pada Selasa berkata hampir 800 anggota bomba dari 14 negara akan dikerahkan ke kawasan yang paling berisiko di Cyprus, Greece, Itali, Perancis, Sepanyol dan Portugal, susulan peningkatan risiko kebakaran hutan di seluruh Eropah.
Selain itu, 22 pesawat dan lima helikopter daripada armada EU turut berada dalam keadaan siap siaga untuk memberikan bantuan.
“Inilah semangat perpaduan Eropah dalam bertindak.
“Anggota bomba dari seluruh benua kita berkongsi satu misi: melindungi penduduk, kediaman dan hutan,” kata von der Leyen.
Projek itu diselaras dan dibiayai oleh Suruhanjaya Eropah menerusi Mekanisme Perlindungan Awam.
Inisiatif berkenaan turut disokong oleh penyelarasan dan bantuan oleh pakar di pusat koordinasi kecemasan.
EU juga merancang menubuhkan sebuah balai bomba serantau Eropah baharu di Cyprus bagi memperkukuh keupayaan pencegahan dan tindak balas terhadap kebakaran hutan di seluruh Eropah serta rantau selatan Mediterranean.
Menurut laporan mengenai keadaan iklim Eropah yang diterbitkan oleh Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) dan Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus EU, kebakaran hutan di Eropah memusnahkan lebih sejuta hektar kawasan tahun lepas, iaitu keluasan terbesar pernah direkodkan.
-- BERNAMA-dpa