Skip to main content

Malaysia

Jumlah kes penderaan seksual dirujuk kepada OSCC meningkat kepada 4,258 kes pada 2025

KUALA LUMPUR, 6 Okt -- Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail menggulung sesi penerangan Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak Kanak di Malaysia di Dewan Rakyat hari ini.  --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menurut laporan jawankuasa itu, ancaman kepada mangsa bukan selalu datang daripada orang luar, tetapi boleh datang daripada keluarga atau mereka yang dikenali.- Foto Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Jumlah kes penderaan seksual yang dirujuk kepada One Stop Crisis Centre (OSCC) meningkat kepada 4,258 kes pada 2025 berbanding 2,699 kes pada 2020, menurut Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat.

Naib Pengerusi jawatankuasa itu, Rodziah Ismail berkata, peningkatan tersebut membimbangkan dan menunjukkan keperluan untuk memperkukuh sistem perlindungan, pengesanan awal serta intervensi terhadap mangsa keganasan seksual.

Menurut Rodziah, data berkenaan adalah berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi kes yang dirujuk kepada OSCC.

“Jawatankuasa juga mengambil maklum bahawa mangsa perempuan mencatatkan jumlah kes yang jauh lebih tinggi berbanding mangsa lelaki, iaitu 10,176 kes berbanding lelaki 2,730 kes.

"(Manakala) pada tahun 2025, kes keganasan rumah tangga mencatat 7,689 kes iaitu hampir 60 peratus daripada keseluruhan kes OSCC. Daripada jumlah tersebut, sebahagian besar kes melibatkan keganasan fizikal. Hubungan pelaku dengan mangsa juga menunjukkan bawah kategori terbesar iaitu suami atau isteri sebanyak 4,191 kes," tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat berhubung penambahbaikan Perkhidmatan Bersepadu One Stop Crisis Centre (OSCC) Malaysia di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Ujarnya, rumah yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat dalam banyak keadaan telah menjadi lokasi utama berlakunya keganasan. Ancaman kepada mangsa bukan selalu datang daripada orang luar, tetapi boleh datang daripada keluarga atau mereka yang dikenali.

Dalam pada itu, Rodziah berkata, jawatankuasa turut mendapati risiko keganasan berubah mengikut peringkat umur.

"Bagi kanak-kanak, ancaman utama melibatkan penderaan fizikal oleh ibu bapa, pengabaian dan pembuangan bayi.

"Bagi remaja pula, fasa ini dikenalpasti sebagai titik kritikal bagi kes penderaan seksual, khususnya dalam kalangan remaja perempuan. 

"Bagi golongan dewasa, bentuk keganasan lebih kepada berkaitan keganasan fizikal dan keganasan intim dalam perkahwinan," tambahnya.

Must Watch Video

Advertisement