KUALA LUMPUR:Situasi banjir di Pantai Timur semakin memburuk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 9,188.

Jumlah itu melibatkan 2,323 buah keluarga di tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan 77 buah PPS dibuka setakat ini.

Data ini berdasarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat pukul 10 pagi ini.

Terengganu merekodkan mangsa banjir paling tinggi iaitu seramai 7764 mangsa daripada 1819 buah keluarga dengan 52 buah PPS dibuka di negeri itu.

Daerah yang paling terjejas teruk adalah di Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu.

Manakala Kelantan mencatatkan 1386 mangsa daripada 498 keluarga dengan 23 PPS dibuka.

Daerah yang terjejas adalah Pasir Mas, Kuala Krai dan Tanah Merah.

Dalam pada itu, Pahang pula merekodkan 38 mangsa banjir daripada enam buah keluarga dengan dua buah PPS telah dibuka.

Antara daerah terjejas adalah Kuantan dan Jerantut.