Situasi banjir di Terengganu terus buruk.

Sehingga lewat malam tadi, 1338 penduduk dari 281 keluarga dipindahkan selepas kediaman mereka ditenggelami banjir.

Ia membabitkan 14 pusat pemindahan di empat daerah masing-masing tujuh di Kuala Terengganu, tiga di Setiu, dua di Marang dan dua di Hulu Terengganu.

Ketua Penolong Pengarah bahagian produktiviti dan komuniti JKM Terengganu, Rosmi Mahmud berkata seramai 30 mangsa dari lapan keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan termasuk surau Kampung Sungai Pinang dan Balairaya Kampung Sungai Lerek di Setiu.

Manakala di Marang 335 mangsa dipindahkan ke SK Rusila dan SMK Seri Payong .

Kuala Terengganu mencatatkan jumlah tertinggi dengan 958 mangsa dari 224 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan.

Antaranya termasuk SK Gong Tok Nasek, SK Chendering, Dewan Sivik Gong Badak dan SK Kompleks Gong Badak.

Sementara itu, penduduk kawasan perumahan di Gong Badak dari Taman Desa Baruh Tanjung Damau dan Taman Desa Darul Iman berpindah secara berperingkat bermula jam tiga petang semalam sehingga awal pagi tadi.

Ia membabitkan 778 mangsa yang tinggal di kawasan berkenaan.