KUALA LUMPUR: Jumlah keseluruhan mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Johor dan Pahang mencatatkan penurunan kepada 22,033 orang yang ditempatkan di 92 pusat pemindahan sementara (PPS) tengah hari ini, berbanding 23,008 orang di 103 PPS pagi tadi.

Bagaimanapun di Pahang, mangsa banjir yang dipindahkan sedikit meningkat daripada 207 orang pagi tadi kepada 227 orang yang ditempatkan di 10 PPS, di daerah yang terjejas iaitu Bera, Jerantut, Kuantan, Maran, Rompin, Temerloh.

Selain itu, menurut laporan dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) jumlah mangsa ditempatkan di sebuah PPS yang dibuka ekoran kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands masih kekal 87 orang daripada 17 keluarga.

Sementara itu, Kelantan masih lagi menjadi negeri paling teruk terjejas dengan banjir, namun jumlah mangsa dipindahkan mencatatkan pengurangan kepada 19,167 orang tengah hari ini berbanding 19,716 orang pagi tadi.

Mereka ditempatkan di 48 PPS melibatkan daerah Pasir Mas dengan 15,249 orang di 28 PPS, Tumpat dengan 3,226 orang (10 PPS), Kuala Krai sebanyak 527 orang (lapan PPS), manakala di Tanah Merah sebanyak 165 mangsa (dua PPS).

Keadaan yang sama turut dilaporkan berlaku di Terengganu dengan jumlah mangsa berkurangan kepada 2,576 orang berlindung di 31 PPS tengah hari ini, berbanding 3,022 orang di 37 PPS pada pagi tadi melibatkan daerah Dungun, Hulu Terengganu, Kemaman, Kuala Terengganu, Marang dan Setiu.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Johor setakat tengah hari ini kekal sejak tengah malam tadi dengan 63 mangsa daripada 16 keluarga yang masih ditempatkan di tiga PPS di daerah Segamat.

Status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran pula merekodkan tiga sungai di Kelantan iaitu Sungai Golok di Pasir Mas, Sungai Kelantan di Gua Musang dan Sungai Kelantan di Kota Bharu kekal berada pada paras bahaya setakat tengah hari tadi.

-- BERNAMA