Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata jumlah rumah mangsa yang rosak akibat ribut Taufan Lekima pada Jumaat meningkat sehingga 1,358 seluruh negeri itu.

Beliau yang pada awalnya menyangka bahagian utara negeri itu paling teruk terjejas, dimaklumkan kawasan Kuala Muda merupakan kawasan paling banyak terjejas dengan 400 kes dilaporkan.

“Ternyata tidak cukup wang tunai yang kita letakkan (peruntukkan) di setiap daerah. Itu untuk bencana yang kecil, kita tidak sangka pula boleh berlaku yang macam ini.

“Oleh kerana itu kerajaan negeri akan memberi peruntukan yang lebih tetapi kita juga berurusan dengan kerajaan persekutuan,” kata Mukhriz ketika ditemui selepas menghadiri program korban di Masjid Kampung Pida 3 di sini, pada Ahad.


Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, Kerajaan Negeri akan menilai kerosakan yang dilaporkan sebelum memberi bantuan kepada mangsa.

“Kita akan lihat berapa banyak kita hendak salurkan kepada keluarga yang terjejas pada bencana ini.

“Kita tengok keadaan rumah itu. Ada yang satu dua ribu tidak cukup kalau nak tukar zink saja tapi kadang kadang macam kawasan kami di sini kayu pun kayu reput yang dah lama lama jadi dia jadi makin teruk apabila dipukul rebut,” katanya lagi.

BACA: "Menggeletar tengok jenazah anak ditutup dengan payung" - Ibu mangsa maut elak zink terbang


Beliau berkata, walaupun bantuan tambahan untuk membaiki rumah belum diberikan, kerajaan negeri sudah menyalurkan bantuan awal RM300 kepada penduduk terjejas.

Mukhriz berkata, semua jabatan dan agensi sudah melakukan tugas dan tanggungjawab masing-masing selain pihaknya turut menyalurkan bantuan awal kepada mangsa.