Jumlah projek sakit, lewat dan terbengkalai catat trend penurunan - Aiman Athirah

Aiman Athirah berkata bagi tahun ini sahaja, sebanyak 395 projek sakit dan lewat dipulihkan melibatkan 44,806 unit rumah dengan GDV RM33.75 bilion. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Jumlah projek sakit, lewat dan terbengkalai menunjukkan trend penurunan hasil tindakan pantas dan berkesan dilaksanakan Pasukan Petugas Khas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) bersama pihak berkepentingan.
Ringkasan AI
- Jumlah projek sakit, lewat dan terbengkalai menunjukkan penurunan hasil tindakan pantas Pasukan Petugas Khas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) bersama pihak berkepentingan; projek lewat turun 24% kepada 111 dan projek sakit turun kepada 335 projek.
- Pemulihan 395 projek sakit dan lewat tahun ini melibatkan 44,806 unit rumah dengan GDV RM33.75 bilion; 11 projek terbengkalai dengan 2,085 unit rumah bernilai RM239 juta diselesaikan.
- TFST berjaya pulihkan 1,333 projek perumahan swasta melibatkan 159,638 unit rumah dengan GDV RM126.47 bilion sejak penubuhannya pada 2023; pihak KPKT akan pantau kemajuan projek Residensi Hektar Gombak yang terhenti sejak 2018.
Aiman Athirah berkata bagi tahun ini sahaja, sebanyak 395 projek sakit dan lewat dipulihkan melibatkan 44,806 unit rumah dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM33.75 bilion.
"Selain itu, 11 projek terbengkalai merangkumi 2,085 unit rumah bernilai RM239 juta diselesaikan sama ada melalui pemulihan atau kaedah alternatif sehingga memperoleh Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC)," katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak projek Residensi Hektar Gombak di sini, hari ini.
Beliau berkata sejak penubuhannya pada 2023, TFST berjaya memulihkan 1,333 projek perumahan swasta melibatkan 159,638 unit rumah dengan GDV berjumlah RM126.47 bilion.
Sementara itu, Aiman Athirah berkata beliau telah meminta pihak pemaju, kontraktor dan agensi teknikal menyegerakan pemulihan projek Residensi Hektar Gombak dengan sasaran memperoleh CCC pada suku pertama 2027, sebelum penyerahan kunci kepada pembeli pada suku kedua tahun sama.
"Saya telah berbincang dengan pihak kontraktor kalau boleh kita lajukan lagi dengan menambah jumlah pekerja, keduanya mungkin mendapatkan keizinan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk bekerja lebih masa supaya dapat mencapai sasaran," katanya.
Beliau berkata pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan meninjau setiap tiga bulan projek berkenaan yang kini mencapai kemajuan 85 peratus bagi memastikan jadual pemulihan dipatuhi.
Projek perumahan melibatkan 2,400 unit kediaman itu terhenti sejak dimulakan pada 2018 akibat pelbagai masalah.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


