KUALA LUMPUR: Jumlah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) meningkat 20.6 peratus kepada 1,099 tahun ini berbanding 911 pada 2022, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata pertambahan 188 pusat dalam tempoh itu memudahkan komuniti mendapatkan akses digital dan latihan kemahiran, selain membuka lebih banyak peluang keusahawanan.
“Akses digital, latihan kemahiran dan peluang keusahawanan semakin dekat dengan komuniti,” katanya menerusi hantaran di Facebook, malam tadi.
Menurut infografik Kementerian Komunikasi yang dikongsikan Fahmi, sebanyak 911 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) beroperasi pada 2022, berbanding 1,099 Pusat NADI pada 2026.
NADI yang dahulunya dikenali sebagai PEDi sebelum dijenamakan semula pada 2024, merupakan inisiatif utama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di bawah Program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP).
-- BERNAMA