Skip to main content

Malaysia

Juruelektrik bebas tuduhan tanam pokok kanabis di rumah

IPOH, 27 Ogos -- Seorang juruelektrik dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada pertuduhan membenarkan pokok kanabis seberat 253.4 gram ditanam di sebuah rumah tiga tahun lalu.  Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Aszizi Ayub, 37, di akhir kes pendakwaan.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Aszizi dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini. - Gambar/ Bernama
Advertisement

IPOH: Seorang juruelektrik dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada pertuduhan membenarkan pokok kanabis seberat 253.4 gram ditanam di sebuah rumah tiga tahun lalu.

Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Aszizi Ayub, 37, di akhir kes pendakwaan.

“Setelah menilai keterangan dikemukakan pihak pendakwa serta hujah daripada pihak pembelaan, mahkamah dengan ini mendapati pihak pendakwa gagal untuk membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh. Oleh itu tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan,” katanya.

Mengikut pertuduhan pindaan, lelaki itu didakwa membenarkan pokok kanabis seberat 253.4 gram dari mana kanabis itu boleh diperoleh secara langsung, ditanam oleh seseorang lain di dalam beg plastik hitam di sebuah rumah di Taman Dato Leow Yan Sip, Kinta kira-kira 8.30 malam, 31 Julai 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6B(1)(c) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 6B(3) akta sama, iaitu penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya S. S. Pavitra, manakala tertuduh diwakili peguam Keshvinder Singh, Sukhdave Singh dan Renver Singh. 

Berdasarkan fakta kes, sepasukan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak melakukan serbuan di rumah berkenaan dan menemukan sepohon tumbuhan disyaki ganja setinggi kira-kira 70 sentimeter yang ditanam dalam beg plastik hitam di dalam sebuah bilik.

Pemeriksaan lanjut di bilik sama turut menemukan beberapa peralatan dipercayai berkaitan aktiviti dadah, antaranya balang kaca yang diubah suai, pemetik api, alat sealer, alat penimbang, kertas berwarna coklat, dua pisau serta sejumlah peket plastik lut sinar kosong.

Polis kemudian menemukan sebuah balang kaca berisi biji-biji yang disyaki biji ganja, dua botol berisi cecair disyaki bahan kimia, baja, botol semburan berisi air serta alat pengukur baja.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement