Jurugambar Malaysia, Yuji Haikal raih naib juara di anugerah foto antarabangsa XIPA, UAE

Yuji Haikal tidak mampu menyembunyikan rasa bangga kerana fotografi jalanan dapat membawa nama Malaysia di persada antarabangsa.- Gambar ihsan Yuji Haikal.
KUALA LUMPUR: Jurugambar tempatan, Yuji Haikal meraih gelaran naib juara di Anugerah Foto Antarabangsa Xposure (XIPA) menerusi kategori Portraiture di Sharjah, Emiriah Arab Bersatu semalam.
Dengan sekeping gambar bertajuk “Lost In Translation” Yuji atau nama sebenarnya Syed Muhammad Haikal Syed Mahbar, 41, tersenarai antara 29,000 peserta dari seluruh dunia yang menyertai anugerah ini.
Beliau turut menyatakan rasa bangga apabila aliran fotografi jalanan atau streets photography dapat membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa.
“Perasaan seperti tidak percaya dan dalam masa yang sama rasa berbangga,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Gambar tersebut merakam detik seorang gadis pelarian dari Rusia yang berdiri di sebalik cermin sebuah kedai serbaneka di ibu kota, ketika konflik Rusia–Ukraine yang tercetus dua tahun lalu.
Yuji mentafsirkan imej gadis itu seolah-olah hidup tanpa arah tuju terperangkap dalam konflik geo-politik antara dua negara.
“Tanpa arah tuju yang pasti, kehidupannya seolah-olah terperangkap didalam cermin,” katanya.

Gambar ini diambil pada 2024 di sebuah kedai serbaneka di Kuala Lumpur menunjukkan seorang wanita dari Rusia selaku pelarian konflik peperangan antara Rusia dan Ukraine.
Anugerah itu turut melayakkan beliau menerima wang tunai AS$1,500 (RM6,000), selain karyanya akan dipamerkan di Hall of Fame XPosure Festival serta kos penginapan selama sembilan hari dan tiket penerbangan ditanggung oleh penganjur festival.
Tempat pertama dalam kategori ini dimenangi jurugambar Myanmar, Aung Kyaw Zaw, yang menewaskan lima peserta lain di peringkat akhir.
Anugerah tersebut menyaksikan barisan juri berprestij di peringkat antarabangsa antaranya adalah Muhammad Muheisein, Essdras M. Suarez dan Giles Clarke.
Bekerjaya sebagai pelatih teknologi maklumat (IT) tidak mematahkan semangat Yuji untuk berkecimpung dalam dunia fotografi.
Beliau sebelum ini telah mencipta sejarah di Athens, Greece pada 2024 dengan memenangi anugerah Book Photographer of the Year sempena International Photography Awards (IPA) ke-21 sekali gus menjadi individu pertama dari Malaysia dan Asia Tenggara meraih pengiktirafan tersebut menerusi buku berjudul “Why Aren’t You Taking Photos Anymore?”
Menurut Yuji, seorang jurugambar harus yakin untuk menyertai apa sahaja kejuaraan sekiranya mempunyai gambar yang baik.
“Jika kita memilih untuk tidak menghantar, kita sebenarnya sudah mengalah sebelum perjalanan itu bermula, Selagi kita tidak mencuba, kita tidak akan pernah tahu sejauh mana gambar kita mampu melangkah,” katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


