KANGAR: Seorang bekas anggota tentera direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kejadian kes tikam seorang wanita dengan sebilah pisau di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu, Arau, semalam.

Perintah reman sehingga 7 Okt itu dikeluarkan Majistret Siti Norhasliza Md Ali ke atas suspek di Mahkamah Majistret Kangar selepas dibawa ke mahkamah berkenaan jam 8.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Arau Supt Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, reman yang dikenakan ke atas suspek dipercayai dapat membantu polis menyelesaikan siasatan terhadap kejadian terbabit.

Suspek yang berusia 38 tahun dipercayai membunuh Munirah Abu Bakar, 31 tahun, seorang jururawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar, dengan menikam mangsa di bahagian kiri dada.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, dipercayai berlaku pergaduhan antara suspek, dipercayai suami wanita itu, dan mangsa di ruang tamu rumah.

Suspek dikatakan ‘naik angin’ dan secara tiba-tiba mengambil pisau dan menikam dada mangsa.

BACA: Jururawat maut ditikam suami angkara cemburu

BACA: Rasa tak sedap hati jadi kenyataan, rakan baik maut ditikam

Selepas membunuh mangsa, suspek dikatakan membawa wanita berkenaan ke dalam bilik utama dan menutup mayat dengan selimut tebal.

Dia kemudiannya memandu kereta bagi menghantar dua kanak-kanak dipercayai anak mereka, berusia lapan dan 10 tahun, ke rumah pengasuh.

Selepas itu, suspek menyerah diri dengan memaklumkan kejadian berkenaan di pondok pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis sekitar jam 10 pagi sebelum polis ke tempat kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.