GEORGE TOWN: Polis menahan seorang jurutera yang dipercayai bertindak mengasari dan menghalang polis trafik menjalankan tugas dalam kejadian di tepi Jalan Tun Dr Awang, Bayan Lepas dekat sini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, kejadian tersebut berlaku pada jam 6.30 petang semalam.

Menurutnya, siasatan mendapati lelaki berusia 51 tahun berkenaan dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan anggota polis itu mengeluarkan saman terhadapnya. 

"Lelaki berkenaan telah melakukan kesalahan  menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan anggota polis yang bertugas ketika itu bertindak mengeluarkan saman.

"Bagaimanapun lelaki itu tidak berpuas hati dengan tindakan saman tersebut telah membuat rakaman menggunakan telefon bimbitnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, anggota terbabit kemudian cuba menahan suspek kerana menghalang polis menjalankan tugas selain merampas telefon bimbitnya untuk siasatan.

Namun katanya suspek bertindak menggunakan kekerasan jenayah seterusnya berlaku pergelutan antara mereka dalam insiden itu sebelum suspek berjaya ditahan.

Susulan kejadian itu, Kamarul Rizal berkata, lelaki tersebut kini ditahan reman selama tiga hari sehingga 30 Jun ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 353, Seksyen 186 dan Seksyen 188 Kanun Kesiksaan.

Terdahulu tular di media sosial rakaman video berdurasi dua minit 56 saat seorang lelaki dalam keadaan marah bertindak mengasari anggota polis trafik menjalankan tugas sehingga berlaku pergelutan.