Jurutera terkejut penjenayah berada di ruang tamu rumah

Suspek kini ditahan dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Temerloh hari ini bagi permohonan reman untuk membantu siasatan lanjut.
TEMERLOH: Seorang jurutera terkejut apabila kepulangannya 'disambut' seorang lelaki tidak dikenali di ruang tamu kediamannya di Kampung Batu 4, Paya Pulai di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, kejadian tersebut disedari mangsa sebaik tiba di rumah kira-kira jam 3.30 petang apabila ternampak sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara berwarna putih berada di hadapan rumahnya.
"Mangsa menyedari seorang lelaki tidak dikenali berada di ruang tamu rumahnya.
"Seterusnya, dia cuba menangkap suspek tersebut bersama beberapa orang jiran tetapi gagal apabila suspek berjaya melarikan diri dengan memandu kereta tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dua hari kemudian, pihak polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai kehadiran suspek di tepi jalan Kampung Batu 4, Jalan Maran.
Susulan itu jelasnya, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh bergegas ke lokasi kejadian.
"Kita berjaya menahan lelaki terbabit bersama kenderaan Nissan Navara putih dan kenderaan tersebut sebelum ini dilaporkan hilang pada 29 November di kawasan Pekan Awah, Maran.
"Suspek berusia 36 tahun beralamat di Kampung Padang Lalang, Batu 5, Jalan Maran dan saringan ujian air kencing awal mendapati suspek positif methamphetamine.
"Semaka rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah," ujarnya.
Mohd Nasyim berkata, suspek kini ditahan dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Temerloh hari ini bagi permohonan reman untuk membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 14 tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


