Skip to main content

Malaysia

Juruterbang Malaysia ditahan di Indonesia ambil bekalan dadah di apartmen di Ampang - PDRM

Shah Alam , 4 Ogos 2026. Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan pada sidang media berikutan kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis DiRaja Malaysia dalam menumpaskan sidiket pengedaran dadah bagi pasaran tempatan dan antarabangsa di IPK Selangor.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan kini tertumpu kepada keseluruhan rangkaian pengedaran dadah termasuk mengenal pasti sumber bekalan yang diperoleh suspek di negara ini. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Polis mengesan sebuah apartmen di Ampang, Selangor yang dipercayai menjadi lokasi seorang juruterbang warga Malaysia mendapatkan bekalan dadah sebelum cuba menyeludupnya ke Indonesia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan kini tertumpu kepada keseluruhan rangkaian pengedaran dadah termasuk mengenal pasti sumber bekalan yang diperoleh suspek di negara ini.

Menurutnya, polis turut memperoleh nombor telefon yang dipercayai digunakan suspek bagi membantu siasatan lanjut.

“Kita sedang melihat keseluruhan spektrum pengedaran ini. PDRM sedang menyiasat bagaimana dia mendapatkan bekalan dalam negara.

“Kita dapat mengesan bekalan itu dipercayai diambil di sebuah apartmen di Ampang dan kita juga telah memperoleh nombor telefon yang dihubungi. Semua itu kini dalam tindakan pihak polis,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Hussein berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu kebenaran daripada Polis Republik Indonesia (POLRI) untuk menghantar pegawai ke Jakarta bagi menemu bual suspek.

“Kita sedang menunggu kebenaran daripada POLRI kerana tangkapan dibuat oleh pihak kastam di lapangan terbang dan kes itu kini disiasat oleh polis Indonesia.

“Sebaik sahaja mendapat kebenaran, pegawai kita akan ke Jakarta untuk menemu bual suspek,” katanya.

Pada Rabu lalu, seorang juruterbang warga Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta kerana dipercayai cuba menyeludup 26 kilogram (kg) dadah jenis MDMA ke negara itu.

Menurut pihak berkuasa Indonesia, lelaki berusia 39 tahun yang dikenali sebagai MSO itu ditahan sejurus tiba selepas menerbangkan pesawat penumpang dari Kuala Lumpur.

Must Watch Video

Advertisement