Skip to main content

Malaysia

Juruterbang Malaysia ditahan di Indonesia berdepan hukuman penjara seumur hidup

Shah Alam ,19 February 2026. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Datuk Hussein Omar Khan pada sidang media di Mes Pegawai Kanan Polis IPK Selangor.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Hussein berkata, lelaki berusia 39 tahun itu disiasat mengikut Akta Nombor 35 Tahun 2009 mengenai Narkotik dan Akta Nombor 1 Tahun 2026 mengenai Penyelarasan Hukuman Jenayah di Indonesia. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Juruterbang warga Malaysia yang ditahan di Indonesia kerana disyaki cuba menyeludup kira-kira 25 kilogram (kg) dadah ke negara itu berdepan hukuman penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki berusia 39 tahun itu disiasat mengikut Akta Nombor 35 Tahun 2009 mengenai Narkotik dan Akta Nombor 1 Tahun 2026 mengenai Penyelarasan Hukuman Jenayah di Indonesia yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup.

"Mengikut perundangan Indonesia, suspek boleh ditahan sehingga 60 hari atau maksimum 120 hari sebelum didakwa, bergantung kepada perkembangan siasatan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Sabtu.

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan penahanan lelaki itu sebaik tiba di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, pada malam Rabu lalu.

Portal berita Indonesia melaporkan, dadah berkenaan ditemukan selepas pegawai kastam mengesan sebuah bagasi yang mencurigakan ketika melalui pemeriksaan mesin pengimbas sinar-X.

Hasil pemeriksaan lanjut menemukan 14 bungkusan besar pil ekstasi dan satu bungkusan syabu dengan anggaran berat keseluruhan kira-kira 25kg.

Siasatan awal mendapati suspek mengaku bertindak sebagai keldai dadah bagi rangkaian sindiket penyeludupan dadah antarabangsa.

Suspek juga mengaku dijanjikan bayaran RM50,000 oleh seorang dalang di Malaysia sebagai upah membawa bekalan dadah itu ke Jakarta.

Pihak berkuasa Indonesia turut mengesahkan hasil ujian air kencing suspek didapati positif methamphetamine, MDMA dan kokain.

Malah, ketika mengendalikan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Indonesia sebelum ditahan, suspek dilaporkan berada di bawah pengaruh dadah.

Selain itu, sebanyak empat gram syabu turut ditemukan di dalam beg suspek yang dipercayai untuk kegunaan sendiri.

Must Watch Video

Advertisement