SHAH ALAM: Novel genre baharu Karangkraf Literature (K-Lit) di bawah anak syarikat, Grup Buku Karangkraf Alaf 21 Sdn Bhd bercadang untuk menembusi platform Netflix Original dalam usaha menembusi pasaran antarabangsa sekali gus memperkenalkan Malaysia kepada negara luar.

Eksekutif R&D (Konten) Grup Buku Karangkraf, Siti Rahmah Mokhtaruddin berkata, inisiatif itu perlu berikutan kandungan K-Lit sangat bagus selain memenuhi cita rasa pembaca dan penonton yang semakin mahukan kelainan dalam karya tempatan.

Katanya, isu-isu yang dibawa dalam K-Lit ialah isu universal, tetapi latar ceritanya lokal.

“K-Lit ialah genre novel yang ditulis mengikut acuan drama Korea namun mempunyai ciri-ciri Malaysia. Kita kaya dengan kebudayaan, makanan dan permainan tradisional, sayang jika tidak diperkenalkan kepada masyarakat luar.

“Kalau kita tengok cerita Korea, mereka banyak memperkenalkan budaya dan makanan melalui drama sehinggakan menjadi popular di Malaysia. Itulah yang kita mahukan apabila K-Lit mendapat tempat di peringkat global secara tidak langsung dapat mempromosikan Malaysia di luar negara,” katanya pada Jumaat.

Tambah beliau, setiap karya K-Lit perlu memiliki ciri-ciri tertentu berpandukan garis panduan antaranya menjaga sensitiviti, patuh syariah serta pentingkan budaya Malaysia.

“Paling penting, genre K-Lit diwujudkan bagi mempromosikan negara selain menerapkan elemen kekeluargaan, persahabatan, bidang kerjaya, perjuangan, kebangkitan dan cinta.

“Pembaca akan teruja dengan lima novel rintis K-Lit yang berlainan genre. Bagaimanapun, penulis mewujudkan watak cameo pada setiap novel bagi memberi tanda tanya dan sebagai menunjukkan bahawa K-Lit ada semestanya yang tersendiri,” ujarnya.

Ditanya sambutan yang diterima sejak K-Lit dilancarkan pada 27 Mei lalu, Siti Rahmah memberitahu, pihaknya mendapat maklum balas positif daripada pembaca.

“Alhamdulillah pembaca memberi respon baik malah jualannya juga sangat memberangsangkan walaupun baru tiga minggu dilancarkan.

“Oleh itu, saya harap ia semakin meningkat dan mendapat tempat dalam kalangan masyarakat memandangkan buku ini sangat bagus untuk dibaca.

“Ia sekali gus menjadi langkah baharu rakyat Malaysia untuk kembali mencintai negara terutamanya bagi generasi muda,” katanya.

Lima penulis berpengalaman telah dipilih untuk lima novel rintis K-Lit antaranya Bahruddin Bekri - Rahsia Paling Rahsia; Azzah AR - Senaskhah Hidup; Arman Jazee - Leluhur; Riley Fizan - Ekspres Jupiter dan Sayap Berlian - Nurkariema. - Sinar Harian