Pelancaran Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) merupakan satu bukti keprihatinan dan kesungguhan kerajaan menghargai dan merealisasikan hasrat dan idea golongan siswa yang bermanfaat besar untuk mereka.
Selaras dengan hasrat tersebut pada 2 Julai lalu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melancarkan KADS1M yang merupakan hasil cetusan idea yang dikemukakan oleh para siswa sendiri pada mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) pada 21 Nov tahun lalu.
Kerajaan tidak teragak-agak melaksanakan pandangan serta cadangan bernas yang dikemukakan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) demi menjamin kebaikan serta kesejahteraan pelajar baik di IPT awam mahupun swasta.
Untuk itu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mewujudkan KADS1M yang berobjektif membantu hampir 1.5 juta pelajar IPT awam dan swasta di negara ini mengurangkan kos sara hidup dan bebanan sepanjang tempoh pembelajaran mereka.
KADS1M ini menawarkan diskaun antara lima hingga 60 peratus yang diberikan oleh lebih 2,600 kedai milik 264 syarikat yang mengambil bahagian bagi pembelian barangan dan perkhidmatan terpilih dan tertakluk kepada kadar, terma serta syarat yang ditetapkan oleh syarikat masing-masing.
Menyambut baik usaha itu Pengerusi Biro Pengajian Tinggi Kelab Belia Graduan 1Malaysia, Kalam Azad Abu Bakar menyifatkan pemberian kad diskaun itu merupakan 'durian runtuh' kepada seluruh golongan mahasiswa di negara ini.
"Ia merupakan satu usaha yang harus diberi pujian, di atas keprihatinan kerajaan untuk mendengar cadangan dari peringkat mahasiswa, yang sekaligus membuktikan 'suara' golongan ini tidak diketepikan. Siapa kata kerajaan sekarang tidak prihatin?" katanya kepada Bernama ketika dihubungi baru-baru ini.
Antara perkhidmatan dan barangan yang ditawarkan syarikat ialah sektor buku dan alat tulis, pakaian kelengkapan sukan, klinik kesihatan, optometri, penginapan dan pengangkutan, makanan dan minuman, pusat rawatan dan kecantikan, produk teknologi maklumat, automotif dan bengkel, peruncitan dan rekreasi.
Mengulas lanjut beliau berkata walaupun mahasiswa diberikan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) namun pemberian kad diskaun itu dapat membantu menjimatkan lagi perbelanjaan pelajar dan keluarga mereka ketika mereka berada di institusi pengajian.
Jelasnya mahasiswa juga dapat memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap proses pembelajaran mereka tanpa memikirkan kos perbelanjaan dan sara hidup yang semakin meningkat.
"Kalau kita lihat kos hidup terutamanya di kawasan Lembah Klang turut memberi kesan kepada pelajar jadi dengan pemberian kad ini (KADS1M) ia dapat membantu pelajar untuk fokus dalam belajar di samping membolehkan mereka berjimat," katanya.
Pendapat itu turut disokong bekas Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Wan Ahmad Hazman Wan Daud yang berkata golongan mahasiswa perlu bersyukur atas keprihatinan kerajaan yang sanggup menyediakan kemudahan seperti itu sekaligus meringankan beban belanja yang ditanggung oleh siswa.
"Mahasiswa perlu ingat nikmat ini tidak perlu dibandingkan dengan orang yang mempunyai nikmat yang lebih tinggi. Malah jika dibandingkan diri kita dengan negara yang tidak maju kita jauh lebih bertuah mendapat perhatian besar kerajaan," katanya.
Beliau turut melahirkan rasa sedih dan kecewa dengan tindakan segelintir golongan mahasiswa yang sanggup menggadaikan masa depan demi menyatakan ketidakpuasan mereka dengan bertindak di luar batas kesopanan memburukkan kerajaan yang telah berusaha dengan sehabis baik untuk mereka.
"Sebagai seorang mahasiswa mereka perlu bijak menggunakan laluan yang betul bukan dengan cara berdemonstrasi . Kita harus menjadikan diplomasi atau rundingan sebagai 'platform' terbaik untuk meluahkan pendapat," katanya sambil menambah mahasiswa sebagai kelompok intelektual perlu mencerminkan sifat kepimpinan yang matang dan logik.
Jelas Wan Ahmad mahasiswa bukan hanya berperanan penting dalam menggalas tanggungjawab sebagai bakal pemimpin negara tetapi perlu diterapkan dengan pemikiran yang rasional untuk menerajui kemajuan negara.
Dalam pada itu Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Saripuddin Kasim berkata kerajaan sentiasa memberi peluang dan ruang kepada golongan mahasiswa untuk mencerna idea-idea bernas agar cadangan itu dapat diguna pakai.
"Kita memberi respons kepada cadangan pelajar terhadap kes peningkatan sara hidup di kampus dan kerajaan menyahut seruan mereka, malah kita juga turut menggalakkan penglibatan swasta yang memberikan faedah kepada pelajar," katanya.
Beliau berkata kerajaan tidak menanggung sebarang kos dalam mewujudkan program kad tersebut sebaliknya inisiatif itu direalisasikan dengan usahasama antara sektor kerajaan dan swasta melalui Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
Beliau berkata tujuan KADS1M ini diwujudkan untuk mengurangkan kos sara hidup terhadap keperluan para pelajar tanpa mengira IPT di kawasan luar bandar atau bandar.
Bagi seorang pelajar kolej swasta di ibu negara Ng Zhun Ye usaha kerajaan menyediakan KADS1M turut membuktikan golongan mahasiswa IPTS tidak terkecuali daripada menerima pelbagai bantuan yang diberikan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya setakat ini mahasiswa terpaksa membelanjakan lebih RM500 sebulan untuk menampung pembelanjaan harian termasuk membeli buku dan alat tulis atau peralatan teknologi internet, yang tentunya dapat dikurangkan dengan penggunaan KADS1M.
Sementara itu bagi pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Azeqa Ahmad, pertama kali menerima KADS1M beliau berasa sangat teruja kerana berpeluang untuk mendapat potongan harga yang menarik, malah di luar jangkaan.
"Kad ini banyak membantu pelajar untuk belajar berjimat-cermat dalam berbelanja. Contohnya kalau menggunakan kad ini membeli alat tulis saya dapat jimat RM5 yang selalunya melibatkan kos RM20 hingga RM15," katanya yang merupakan pelajar tahun ketiga jurusan sains kemanusiaan di universiti itu.
Namun Azeqa berkata syarikat atau kedai yang menyertai KADS1M ini perlu melekatkan logo KADS1M untuk memaklumkan kepada para pelajar kerana ada segelintir syarikat yang tidak berbuat demikian.
Pelajar Kaunseling Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Muhammad Syahril Ahmad Halim, pula berpendapat promosi KADS1M ini kawasan pantai timur seperti Terengganu dan Kelantan masih berada pada tahap yang tidak memberangsangkan.
"Saya rasa masih kurang promosi mengenai KADS1M malah ada sesetengah syarikat atau kedai yang tidak menawarkan faedah kad ini. Saya harap pihak syarikat dapat menyambut inisiatif baik kerajaan," katanya.
-- BERNAMA
KNAZ MNY KLS
Bernama
Fri Oct 26 2012
Banjir: Jumlah mangsa kekal 47 orang di dua negeri
Dua pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka melibatkan dua negeri.
Malaysia pilih jalan sukar, tewas 0-1 kepada Thailand
Malaysia wajib menang menentang Singapura pada 20 Dis ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Simposium Legenda Puteri Santubong dianjur tahun depan - Nancy
Datuk Seri Nancy Shukri berkata simposium itu bakal dianjurkan dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia.
Inisiatif pendidikan tinggi percuma Sarawak satu peluang luar biasa - TYT
Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Sarawak memerlukan ramai tenaga mahir, untuk mencapai visi menjadi wilayah maju menjelang tahun 2030.
Rakyat Jepun bantah keganasan seksual tentera Amerika Syarikat
Rakyat Jepun pada petang Jumaat berhimpun di luar Kementerian Luar di Tokyo untuk membantah keganasan seksual oleh anggota tentera Amerika Syarikat yang ditempatkan di negara itu.
Indonesia sediakan sistem keselamatan siber sokong transformasi digital
Kementerian Komunikasi dan Hal Ehwal Digital sedang menyediakan sistem keselamatan siber bagi menyokong pelaksanaan transformasi digital di Indonesia.
Ekonomi ASEAN mengalami pertumbuhan stabil pada 2024 di sebalik cabaran
Asia Tenggara muncul sebagai antara rantau dengan pertumbuhan ekonomi paling pesat di dunia.
Tiga kilang perabot, kotak di Bandar Puncak Alam terbakar
Tiga premis dipercayai kilang perabot dan kotak di Taman Perindustrian Alam Jaya, Bandar Puncak Alam di Kuala Selangor dilaporkan terbakar malam ini.
Tumpuan Ahad – 15 Disember 2024
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan di Astro AWANI.
Selebriti lelaki ditahan di Cyberjaya, disyaki miliki ganja
Seorang selebriti tempatan ditahan selepas disyaki memiliki dadah jenis ganja dalam serbuan di sebuah rumah teres di Cyberjaya, pada Sabtu.
Kad Diskaun 1Malaysia menunjukkan keprihatinan kerajaan
Pelancaran Kad Diskaun Siswa 1Malaysia merupakan bukti kerajaan menghargai golongan siswa.