BACHOK: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) akan melaksanakan operasi pembenihan awan bagi menyelamatkan tanaman padi di kawasan seliaannya jika kemarau berlanjutan sehingga pertengahan April depan.

Pengerusinya, Muhammad Husin berkata, operasi yang akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia itu terlebih dahulu akan difokuskan kepada kawasan tanaman yang tidak mempunyai punca air.

Beliau berkata, KADA telah mengenal pasti kawasan terlibat iaitu kira-kira 3,000 hektar sawah di bahagian Kota Bharu utara dan 2,500 hektar lagi di Kota Bharu selatan termasuk di Ketereh dan Kadok.

"Kawasan ini bergantung sepenuhnya kepada sumber air Kemubu yang kini tidak dapat menampung kerja-kerja mengairi tanah sawah berikutan kemarau," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan di bendang Kampung Alor Bakat di sini, pada Rabu yang telah menerima pam air KADA minggu lepas.

Muhammad berkata, kira-kira 34 peratus daripada keseluruhan 26,833 hektar kawasan tanaman padi di bawah KADA dijangka terjejas berikutan musim kemarau yang sedang berlaku, termasuk 9,180 hektar bagi kawasan utara dan selatan Kota Bharu.

Menurutnya, keadaan itu akan mempengaruhi jumlah pengeluaran padi bagi musim penanaman kedua 2023 yang dijangka menyusut sehingga 25 peratus jika suhu semasa pada kadar 30 hingga 34 darjah celsius berterusan berbanding 212,000 tan metrik hasil tuaian musim pertama.

"KADA sedang mengambil pelbagai langkah proaktif termasuk menyediakan pam air, menyedut air dari sumber alternatif dan membina telaga tiub bagi kawasan yang terjejas ketika ini bagi meminimumkan kerugian yang bakal ditanggung pesawah," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa berusaha mencari pendekatan lebih berkesan dalam menangani masalah pengairan bagi tanah sawah di bawah seliaan agensi itu.

Muhammad berkata, KADA kini dalam proses menyiapkan stesen pam air ketiga Kemubu yang bakal siap Jun tahun depan dan dijangka mampu membekalkan air bagi 160,000 hektar tanah sawah kendalian agensi itu.

"Pam yang bakal dibina itu menelan belanja RM26.3 juta menggunakan teknologi aliran paksi elektrik (electric axial flow) dari Jerman, yang berupaya menyedut air walaupun pada paras cetek di bawah dua meter," katanya. - BERNAMA