Kadar kebolehpasaran graduan institusi pengajian tinggi (IPT) awam di negara ini meningkat empat peratus dalam tempoh empat tahun sejak 2014, sekali gus membuktikan universiti awam tempatan mampu melahirkan tenaga kerja berkualiti, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata pengenalan Program Dua Universiti+Dua Industri iaitu program yang memperuntukkan pelajar mengikuti pengajian selama dua tahun dan menimba pengalaman industri dua tahun, turut membantu meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan IPT awam.

"Kita lihat kebolehpasaran graduan telah meningkat sejak empat tahun lalu iaitu 75.1 peratus pada 2014, kemudiannya naik sekitar satu peratus setiap tahun iaitu 76.1 peratus (2015), 77.3 peratus (2016) dan 79.1 peratus pada tahun lepas," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Trans Resources Corporation (TRC) Edu Center di Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini hari ini yang dihadiri bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Tun Jeanne Abdullah yang merupakan Anggota Lembaga Pengarah TRC.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Dr Mary Yap Kain Ching, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik

TRC Edu Center merupakan sebuah pusat industri-akademia hasil kolaborasi Politeknik Ungku Omar, Jabatan Pendidikan Politeknik dan TRC, bertujuan mencapai misi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) "Industry

Idris berkata kadar kebolehpasaran graduan politeknik turut menunjukkan peningkatan kepada 94.5 peratus pada tahun lepas berbanding 88.6 peratus pada 2016.

Menyentuh mengenai TRC Edu Center, Idris menjelaskan inisiatif TRC yang memberikan komitmen untuk mengambil 30 pelajar politeknik setahun bagi tempoh lima tahun bagi tujuan pengajian berasaskan kerja sebelum diserap bekerja dengan TRC selepas tamat pengajian, sangat bertepatan dengan misi KPT.

Katanya TRC Edu Center yang berkonsepkan Revolusi Industri 4.0 merupakan sebuah 'Technology Enabled Collaborative Centre' yang akan dilengkapi dengan kemudahan yang seiring dengan konsep ini secara berperingkat.

Beliau berkata konsep berkenaan akan dikembangkan ke politeknik di seluruh negara bagi memenuhi permintaan dan keperluan pemain industri teknikal untuk meningkatkan kualiti Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"Kita galakkan politeknik-politenik ini melaksanakan konsepnya yang agak sama, cuma nama mungkin berlainan. Tapi ia merupakan konsep akademia dan industri adalah satu, iaitu industri berada di pusat pendidikan tinggi," katanya.

-- BERNAMA