MARANG: Kadar kerosakan infrastruktur akibat banjir di Terengganu pada akhir tahun lepas adalah jauh lebih kecil berbanding sebelum ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Tanpa mendedahkan butiran kerugian berkenaan, beliau berkata pihaknya juga mengenal pasti bencana itu hanya menyebabkan kerosakan kecil terhadap sektor pertanian dan penternakan.

"Untuk gelombang baharu ini kita belum ada lagi jumlah kerosakan, namun ia jauh lebih kecil berbanding banjir sebelum ini.

"Kerajaan negeri juga masih mengumpul bilangan keluarga yang mengalami kerosakan pada kediaman mereka. Kalau tak silap saya tak lebih 1,000 keluarga," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Geran Hak Milik 5A Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang di sini hari ini.

Menurut Ahmad Samsuri kerajaan negeri bersama-sama Jabatan Kebajikan Masyarakat Terengganu sedang menyelaraskan bantuan yang sesuai kepada mangsa mengikut keperluan masing-masing.

"Bantuan ini tidak sama sebab kerosakan yang dialami itu pelbagai. Ada yang perlukan bantuan kayu, bata dan atap zink. Itu sedang diuruskan kerajaan ketika ini," katanya.

Beliau turut memaklumkan setakat ini kerajaan negeri tidak bercadang menyalurkan bantuan RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah yang terjejas banjir berkenaan.

Fenomena Monsun Timur Laut sejak November 2023 menyaksikan Terengganu telah dilanda tiga gelombang banjir pada akhir tahun lepas, dengan gelombang terakhir pada 23 hingga 31 Dis membabitkan kesemua lapan daerah.

-- BERNAMA