TEHRAN: Beberapa kapal Iran melepasi zon sekatan tentera laut yang dikuatkuasakan Amerika Syarikat (AS) di Teluk Oman susulan perjanjian awal antara kedua-dua negara yang bertujuan menamatkan konflik, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) yang memetik media kerajaan Iran.
Sekurang-kurangnya tiga kapal tangki minyak dan dua kapal kargo merentasi kawasan itu pada Isnin malam tanpa sebarang insiden, lapor penyiar Iran, Press TV yang memetik sumber berkaitan.
Perkembangan itu berlaku selepas beberapa minggu rundingan yang menyaksikan Washington dan Tehran bersetuju terhadap rangka kerja perjanjian bagi menamatkan perang, yang dijadual dimeterai di Switzerland pada Jumaat.
Satu daripada isu utama dalam rundingan itu ialah pembukaan semula Selat Hormuz. Iran bersetuju membenarkan laluan perairan itu dibuka semula selepas perjanjian ditandatangani, manakala Presiden AS Donald Trump berkata beliau mengarahkan penamatan segera sekatan tentera laut AS terhadap pelabuhan Iran.
Perjanjian itu memenuhi satu daripada tuntutan utama Tehran.
Secara berasingan, perkhidmatan penjejakan kapal TankerTrackers memaklumkan di platform X bahawa sebuah kapal tangki gergasi yang membawa kira-kira dua juta tong minyak mentah Iran telah melepasi garisan sekatan tentera laut AS, manakala beberapa kapal lain sama ada menghampiri zon berkenaan atau tidak lagi berada di pelabuhan Iran.
-- BERNAMA-dpa