Seperti tahun-tahun sebelum-sebelumnya, Jalan Tuanku Abdul Rahman atau Jalan TAR menjadi tumpuan dan lokasi wajib dikunjungi warga kota untuk membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba kira-kira seminggu sahaja lagi.

Tinjauan Astro AWANI mendapati para peniaga mengambil kesempatan musim cuti sekolah yang bermula hari ini, dengan membuka gerai mereka seawal jam tujuh pagi lagi.

Orang ramai juga dilihat sudah mula membanjiri kawasan ini kira-kira jam 10 pagi untuk mencari kelengkapan Aidilfitri seperti pakaian, biskut raya, kelengkapan rumah dan pelbagai lagi.

Namun, kadar cukai barang dan perkhidmatan (GST) sifar peratus bermula 1 Jun lalu bagaimanapun dilihat tidak begitu mempengaruhi kuasa membeli pelanggan yang memilih untuk berhati-hati dan berhemah dalam berbelanja.

"Sebelum ini baju Melayu yang saya jual berharga sekitar RM80 - RM90, tetapi selepas penurunan kadar GST, harganya lebih murah iaitu sekitar RM65.

"Dari situ, baru kita nampak pelanggan teruja untuk membeli," kata peniaga, Muhammad Mahadi Sulaiman.

Seorang lagi peniaga, Firdauz Ismail, mengakui bisnes agak sedikit perlahan kerana pelanggan masih nampak takut-takut untuk berbelanja.

"Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan GST yang dikenakan, memang pelanggan berhati-hati nak beli apa-apa barang pun. Walaupun dah turun, mungkin mereka masih bimbang.

"Saya beri masa dalam lapan bulan untuk mengembalikan keadaan kepada normal," katanya yang baru kali pertama membuka gerai di Jalan TAR.

"Ada GST atau tidak, itu soal kedua. Dari dulu lagi saya dan keluarga memang berjimat-cermat dan mencari barangan berdasarkan kualiti serta keperluan," kata seorang pelanggan dari Gombak, Shuhaida Hanim Mohammad Shane.