Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) tidak pernah membisu berhubung tunggakan gaji bekas ketua pasukan The Red Warrior (TRW), Mohd Badri Mohd Radzi seperti yang didakwa pemain terbabit semalam.

Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, pihaknya tidak bersikap 'lepas tangan' terhadap mana-mana pemain yang menandatangani kontrak bersama persatuan itu.

"Sebelum ini, kita memanggil dia (Mohd Badri) beberapa kali bagi membincangkan perkara berkaitan tunggakan gajinya, namun pihak kami tidak mendapat maklum balas positif daripada pemain itu untuk sebarang perbincangan.

"Saya sendiri pernah menjemput beliau ke satu majlis untuk berbincangan mengenai hal tersebut namun beliau tidak hadir dengan alasan sibuk dengan urusan di ibu kota," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Semalam, Mohd Badri yang juga bekas pemain kebangsaan, dilaporkan kecewa dengan sikap membisu KAFA dalam menyelesaikan tunggakan gajinya selama tujuh bulan.

Mengulas lanjut, Bibi Ramjani berkata, pemain terbabit seharusnya datang berbincang dengan pihaknya sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan kesan kepada persatuan khususnya The Red Warriors.

"Cukup-cukuplah mahu jatuhkan KAFA, rasaya pemain sendiri lebih tahu apa yang dia lakukan kepada KAFA. Jangan ingat jasa dia sahaja kepada kami sebaliknya harus tahu jasa KAFA kepada pemain.

"Jika ada tunggakan, pemain terlibat perlu memberi ruang kepada kami untuk menyelesaikannya terutamanya dalam situasi kewangan dihadapi kami ketika ini," katanya.

Beliau berkata pihaknya menaruh harapan terhadap pemain supaya mengadakan perbincangan dalam suasana 'keluarga' dengan KAFA berbanding merujuk sebarang masalah dihadapi mereka kepada orang luar yang sengaja mahu merosakkan persatuan itu.

"Kita perlu faham antara satu sama lain, kita faham pemain juga mempunyai komitmen kewangan dalam kehidupan mereka, begitu juga dengan kami yang turut mempunyai komitmen sama untuk menguruskan persatuan," katanya. - BERNAMA