KUALA KANGSAR:Selepas UMNO Bahagian Tanjung Malim, UMNO Bahagian Kuala Kangsar pula membuat laporan polis berhubung kain rentang yang mendesak Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Maslin Sham Razman menafikan kain rentang itu dipasang oleh pihaknya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar pihak polis dapat membuat siasatan tentang dalang yang bertanggungjawab menaikkan kain rentang itu.

“Ia satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab, perbuatan yang keji yang saya boleh nyatakan di sini bertujuan untuk merosakkan perpaduan UMNO, bukan saja di Kuala Kangsar, malah UMNO di seluruh negara.

“Jadi, saya berharap supaya peringkat bahagian lain-lain ataupun di Parlimen lain-lain juga berhati-hati dengan tindakan golongan ini kerana dijangkakan mungkin ada satu dua lagi kejadian yang sama akan berlaku dalam masa yang terdekat,” katanya.

Beliau bercakap dalam sidang media selepas beberapa Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar di sini, hari ini.

Laporan itu ekoran dua kain rentang berwarna merah yang dipasang di Taman Lavender dan Jalan Daeng Selili dengan tulisan putih itu tertera perkataan ‘Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi mohon letak jawatan Presiden UMNO’ dan di bawah tertulis UMNO Bahagian Kuala Kangsar berserta logo parti itu.

Bagaimanapun, kedua-dua kain rentang itu tidak dipasang dalam kawasan UMNO Bahagian Kuala Kangsar, sebaliknya di kawasan UMNO Bahagian Padang Rengas.

Maslin Sham tidak menolak kemungkinan perbuatan itu dilakukan orang atau kumpulan yang sama berdasarkan persamaan kain rentang serta tali yang digunakan di semua lokasi di Kuala Kangsar dan Tanjung Malim.

Terdahulu, UMNO Bahagian Tanjung Malim membuat laporan polis berhubung di IPD Muallim di Slim River pada Ahad malam.

Pemangku Ketua Bahagiannya, Mohd Zaidi Aziz menyifatkkan pemasangan kain rentang yang serupa di papan tanda pintu masuk ke Felda Besout sebagai satu fitnah.

Kain Rentang | Desak Ahmad Zahid letak jawatan, laporan polis dibuat