PUTRAJAYA: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menegaskan bahawa prestasi Kerajaan Perpaduan dalam tempoh enam bulan mentadbir negara khususnya menangani inflasi dan kos sara hidup disifatkan lebih baik berbanding pentadbiran-pentadbiran sebelum ini.

Menurut beliau, kaji selidik yang dijalankan oleh Endeavour-MGC menunjukkan rakyat sebenarnya lebih berpuas hati dengan pentadbiran sekarang dalam menguruskan ekonomi.

"Maksudnya, cabaran menangani inflasi dan kos sara hidup ini memang besar dan memerlukan masa yang lebih panjang.

"Ini memerlukan pihak swasta dan pihak kerajaan tetapi angka-angka seperti yang disiarkan secara terbuka itu, semua menunjukkan ke arah bahawa rakyat sebenarnya lebih berpuas hati dengan cara kita menangani sekarang berbanding enam bulan lepas," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah), di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dapatan kaji selidik Endeavour-MGC, yang mendapati sebanyak 52 peratus responden Melayu dan 46 peratus responden semua kaum tidak berpuas hati dengan prestasi Kerajaan Perpaduan menangani isu inflasi dan kos sara hidup.

Menurut dapatan kaji selidik itu, hanya 27 peratus responden Melayu dan 32 peratus responden semua kaum berpuas hati dengan pentadbiran Anwar dalam menangani kedua-dua isu berkenaan.

Responden semua kaum dan Melayu yang menyertai tinjauan pendapat awam itu juga mahu Kerajaan Perpaduan memberikan keutamaan paling tinggi terhadap usaha mengurangkan inflasi, selain menjana pertumbuhan ekonomi.

Mengulas lanjut, Rafizi mendakwa ketika kerajaan lepas memasuki Pilihan Raya Umum (PRU) pada November tahun lalu, angka yang berpuas hati dalam menangani kos sara hidup ialah sekitar 30 peratus.

"Saya tahu dia (angka) tersebut meningkat dari satu bulan ke satu bulan. Sebab itu kalau orang buat bising...kenapa saya diam dan tak jawab, kerana kami tengah buat kerja.

"Kami tahu yang bising di media sosial itu tidak semuanya melambangkan rakyat Malaysia kerana bila ada kajian-kajian seperti ini, memang betul dari sebulan ke sebulan menunjukkan lebih ramai mula berpuas hati dengan cara (kerajaan menguruskan ekonomi," ujarnya lagi.

Dalam masa sama, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata menerusi inisiatif-inisiatif yang sedang dan telah dilaksanakan kerajaan, ia telah mula menunjukkan hasil positif dan dijangka dapat dirasai rakyat dari masa ke masa.