KUALA LUMPUR: Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), jika dilaksanakan semula di Malaysia, perlu mempunyai kajian yang menyeluruh dan pelbagai pusingan rundingan untuk mengkaji impak terhadap isi rumah dan kumpulan mudah terjejas.

Menurut Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dalam kenyataan hari ini, langkah-langkah dasar lain seperti subsidi bersasar dan program jaringan keselamatan sosial yang formal juga perlu dilaksanakan untuk mengurangkan potensi kenaikan harga selepas GST dalam tempoh terdekat.

"Pada amnya, GST diperlukan untuk memperluas aliran hasil kerajaan secara mampan dalam menghadapi defisit bajet yang meluas. Terdapat ruang untuk memperluas asas cukai domestik untuk mengukuhkan kemampanan fiskal Malaysia.

"Daripada kutipan GST, ia terbukti mampu memacu hasil yang lebih tinggi daripada kutipan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada masa ini dan ternyata telah mengurangkan kebergantungan Malaysia kepada cukai pendapatan petroleum pada tahap tertentu, yang tertakluk kepada turun naik pasaran minyak global," katanya.

BACA: Urus tadbir yang lebih baik jika GST diperkenalkan semula - Tengku Zafrul

BACA: Pelaksanaan semula GST masih dalam peringkat kajian - Perdana Menteri

Melihat kepada data dari 2011 hingga 2020, IDEAS berkata kira-kira 55 peratus daripada hasil kerajaan adalah daripada cukai langsung secara purata.

"Antaranya, bahagian cukai pendapatan petroleum berada pada aliran penurunan terutamanya sejak kejatuhan harga minyak global pada 2015. Penurunan ini telah diimbangi pada tahap tertentu dengan pelaksanaan GST dari 2015 hingga 2017.

"Apabila GST diperkenalkan pada 2015, ia membentuk kira-kira 14 peratus daripada hasil kerajaan, dan bahagian ini meningkat kepada 23.41 peratus pada 2017. Secara keseluruhannya, sumbangan SST hanya membentuk 8.0-14 peratus daripada hasil kerajaan," katanya.

-- BERNAMA