AYER KEROH: Kakitangan awam termasuk petugas barisan hadapan di Melaka dijangka selesai menerima dos penggalak vaksin COVID-19 sebelum 20 November ini.

Ketua Mmenteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, sejak program pemberian dos penggalak dimulakan di Melaka pada 24 Oktober lalu, lebih 90 peratus daripada kumpulan itu telah menerima suntikan berkenaan.

"Sebenarnya untuk pemberian dos ketiga ataupun 'booster' ini sebenarnya telah dijalankan awal makna peringkat pertama seperti biasa semua petugas barisan hadapan diberikan dos ini terlebih dahulu.

"Hampir kesemua petugas barisan hadapan di negeri Melaka ini telah pun dapat dos ketiga dan hari ini tiba giliran saya untuk mendapatkan dos ketiga ataupun 'booster' ini dan ianya mestilah dilakukan selepas 6 bulan daripada melengkapkan dos kedua," katanya.

Beliau ditemui media selepas menerima suntikan dos penggalak di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka hari ini.

Tambah Sulaiman, usaha mempercepatkan suntikan dos penggalak kepada anggota barisan hadapan sebagai persiapan kumpulan itu menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Dalam pada itu, jelasnya, setakat ini kerajaan negeri tidak mewajibkan wakil rakyat dan kakitangan awam di Melaka untuk mengambil dos penggalak.

Namun beliau memuji langkah yang diambil sebahagian besar kakitangan awam di Melaka yang mengambil dos penggalak secara sukarela.

Terdahulu, Sulaiman mengetuai 234 pegawai dan kakitangan Kompleks Seri Negeri menerima suntikan dos penggalak COVID-19.

Turut menerima suntikan berkenaan ialah Exco Kesihatan Negeri, Datuk Rahmad Mariman.