MIRI: Dengan kedudukannya sebagai negeri terbesar di Malaysia, Sarawak cukup kaya dengan khazanah budaya yang tersendiri.

Warisan budaya tidak hanya dapat dilihat pada makanan, pakaian atau adat, malahan juga kraftangannya.

Perjalanan ke Kg Long San Telang Usan, Baram, Miri, mempertemukan Astro AWANI dengan sepasang suami isteri yang mengabdikan diri kepada seni kreatif yang semakin ditelan zaman.

Melewati usia emas, William Lusing, 84 tahun, dan isteri, Lucy Suling Lian, 73 tahun, masih tekun melukis dan menganyam pelbagai jenis kraf tanpa lelah.

Tapung La'a

Hasil seni itu ada sebahagiannya ditempah oleh penduduk sekitar, ada juga yang dijual kepada pelancong yang mahu menjadikannya buah tangan.

Permulaan mengenali seni kreatif warisan itu hampir 40 tahun lalu didorong minat yang mendalam, ditambah pula dengan bakat semula jadi yang dimiliki.

"Saya tak pernah ambil kelas atau belajar dengan sesiapa, tapi dengan kekuatan hati, saya belajar sendiri. Ambil apa-apa barang atau ukiran, cuba ikut-ikut lukis. Selepas itu barulah buat betul-betul, ukir pada kayu guna pisau. Akhirnya menjadi, ada orang suka dan beli.

"Memang dari awal pun sebab minat. Buat sampai jadi. Prinsip saya ialah buat kerja, mesti buat sampai jadi, jangan buat kemudian tinggalkan begitu saja.

"Macam alat muzik sape. Saya tak pandai main sape tapi saya buat (ukir) dan orang lain dapat main," katanya ketika ditemui di kediamannya, baru-baru ini.

Anyaman manik yang memerlukan konsentrasi dan ketekunan.

Antara kraf yang dihasilkan mereka ialah sejenis topi yang dipakai semasa acara keramaian dipanggil Tapung La'a, ukiran sape, anyaman manik serta lukisan abstrak tradisional.

Menurut Ketua Kaum Kg Long San Telang Usan, Lucia Payakalang, pasangan itu adalah antara tiga individu di kampung tersebut yang masih aktif dalam seni kraf tradisional, dengan majoriti anak muda tidak berminat meneruskan atau mempelajarinya.

"Tak ada yang mahu belajar. Mereka berdua (William dan Lucy) akan berbesar hati kalau ada yang mahu belajar tapi biasalah anak muda sekarang, minat mereka bukan ke arah itu.

"Dahulu saya pun ada buat kraf juga. Tapi apabila usia sudah meningkat, penglihatan pun sudah tidak begitu baik jadi terpaksa tinggalkan," katanya yang memiliki banyak koleksi kraf tradisional dalam simpanan.

Lukisan yang dihasilkan sama ada akan dibingkaikan atau dijadikan ukiran

Memahami jiwa anak muda yang dicuri arus kemodenan, namun William masih menaruh harapan agar ada yang meneruskan seni itu selepas ketiadaan mereka kelak.

"Ada juga saya beritahu anak-anak muda, kalau ada peluang belajarlah. Ini budaya kita, lama-lama nanti kalau tak ada yang meneruskan, ia akan lenyap begitu saja. Tak ada yang buat lagi, mungkin kamilah generasi terakhir.

"Kalau kita hilang perkara yang jadi budaya kita, susahlah. Cubalah pelihara budaya kita kerana kalau lenyap, mungkin satu hari nanti bangsa kita pun sudah tidak wujud lagi," katanya mengakhiri perbualan.