Kerajaan tidak akan mampu untuk membina rumah dan menjualnya kepada golongan berpendapatan rendah pada harga yang jauh lebih rendah daripada kos, sekiranya benar kerajaan bankrap.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi contoh Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lenggong yang mengandungi 500 unit yang menelan kos keseluruhan RM94 juta.

Menurut beliau, walaupun kos untuk satu unit ialah RM194,000 tetapi kerajaan hanya menjual pada harga RM35,000 seunit.

"Mana ada pemaju buat rumah kosnya RM194,000, jual RM35,000, tiada. Hanya kerajaan yang tidak bankrap saja yang boleh menjual rumah RM35,000 walaupun dibina dengan harga RM194,000.

"Ertinya kerajaan tidak bankrap, yang mengatakan kerajaan sebegitu adalah mereka yang berfikiran bankrap," katanya ketika berucap merasmikan Program Bantu Rakyat dan majlis Pecah Tanah PPR Lenggong di Kampung Chain, dekat sini, hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah; Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Tampan merangkap Exco kerajaan negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad dan Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohamad Mentek.

Timbalan Perdana Menteri berkata, projek PPR Lenggong bukan agenda tetapi agenda rakyat.

"Rakyat harus diutamakan, rakyat harus didahulukan, orang Lenggong harus diberikan bantuan oleh kerajaan negeri dan kerajaan Pusat," jelas beliau.

Pada majlis itu, beliau turut meluluskan beberapa projek untuk Parlimen Lenggong dengan nilai hampir RM3 juta, antaranya maahad tahfiz Kg Air Jerneh, gelanggang futsal, baik pulih rumah rehat Lenggong dan resort Tasik Raban serta naik taraf Dataran Lenggong.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata, PPR Lenggong adalah sebahagian program transformasi untuk memberi rakyat kehidupan lebih berkualiti dan selesa.

"Projek ini akan membesarkan bandar Lenggong sekaligus meningkatkan perkhidmatan untuk menjadi pemangkin pembangunan yang lebih besar," tambahnya.