KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan mencabar pihak yang mahu menjatuhkan beliau dalam politik supaya menghantar calon terbaik untuk bertanding dengannya di Parlimen Tapah, bukannya menggunakan tuduhan sebagai cara untuk menjatuhkannya.
Saravanan menyifatkan dakwaan terhadapnya sebagai 'tuduhan liar' dan menegaskan fakta sebenar akan terungkai apabila kes berkenaan dibicarakan di mahkamah.
"Saya anggap ini sebagai satu tuduhan liar. Kalau nak jatuhkan saya, hantarlah calon untuk bersaing dengan saya di Tapah.
"Hantarlah calon yang terbaik yang boleh bertanding dengan saya. Jangan gunakan teknik seperti ini untuk menjatuhkan orang dalam politik," katanya pada sidang media di luar Komplekas Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, pada Jumaat.
Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah berkata beliau tidak berasa malu dengan tuduhan berkenaan dan yakin rakyat akan dapat menilai sendiri kesahihan dakwaan terhadapnya selepas fakta dibentangkan di mahkamah.
"Saya langsung terasa malu dengan tuduhan ini. Sebab apabila fakta keluar nanti, awak akan rasa malu," ujarnya.
Saravanan berkata beliau tidak gentar untuk berdepan proses perbicaraan dan menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan kesahihan pertuduhan terhadapnya.
Katanya, beliau berharap kes berkenaan tidak dilengah-lengahkan supaya segala fakta dapat dibentangkan dengan segera.
"Saya cuma merayu kepada mahkamah, jangan buat kes ini macam kes-kes lain, main tarik-tarik.
"Saya minta, kalau betul-betul kerajaan mahu perkara ini diselesaikan, percepatkan kes ini. Jangan gunakan teknik melengah-lengahkan untuk memburukkan nama saya.
"Saya sedia untuk berdepan dan saya sedia bekerjasama," katanya.
Dalam pada itu, peguamnya, Datuk Geethan Ram Vincent berkata pihak pembelaan akan mencabar pertuduhan terhadap anak guamnya dengan mengemukakan keterangan bagi membuktikan beliau tidak mempunyai sebarang penglibatan dengan penama-penama yang dinyatakan dalam pertuduhan.
Menurut beliau, pembelaan akan mengemukakan dua akuan bersumpah (SD) Syed Amirul Syed Ahmad, yang didakwa sebagai saksi utama dalam kes berkenaan.
Menurutnya, berdasarkan dokumen berkenaan, Syed Amirul mendakwa beliau tidak mempunyai hubungan perniagaan dengan Saravanan dan mendakwa dipaksa untuk mengaitkan bekas menteri itu.
"Beliau bukan membuat satu, tetapi dua SD untuk menyatakan pendirian beliau.
"Kami akan mencabar pertuduhan dan mengemukakan keterangan bagi membuktikan Datuk Seri (anak guamnya) tidak mempunyai penglibatan dengan penama-penama yang dinyatakan dalam pertuduhan tersebut," katanya.
Geethan Ram berkata, keterangan berkenaan akan dikemukakan ketika prosiding perbicaraan.