AYER KEROH: Kerajaan menegaskan keputusan mendedahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) dibuat demi menegakkan ketelusan dan tatakelola, walaupun menyedari langkah membongkar kepincangan tersebut adalah satu keputusan yang sukar dan tidak popular.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa keputusan membuka dan membentangkan laporan RCI tersebut di Parlimen dipersetujui secara sebulat suara oleh seluruh Ahli Jemaah Menteri tanpa sebarang bantahan.
Menurut beliau, ketirisan dana awam mencecah RM12 bilion yang berlaku sebelum ini menuntut tindakan tegas kerana beban kerugian tersebut akhirnya terpaksa ditanggung oleh seluruh rakyat Malaysia.
"Apabila kita ambil keputusan mendedahkan laporan itu, keputusan itu 'mahal'. Menteri tidak ada seorang pun yang membantah keputusan Jemaah Menteri untuk mendedahkannya, malah ada yang mencadangkan supaya siasatan tidak dihentikan setakat tahun 2020 sahaja.
"Ada orang tidak suka istilah 'sakau', tetapi kalau Tabung Haji RM12 bilion hilang, itu memang berlaku. Yang menyakau itu beberapa kalangan, tetapi yang terpaksa membayar dan menanggungnya adalah seluruh rakyat Malaysia ... Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan," katanya.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka International Trade Centre (MITC), di sini, hari ini.
Mengulas dakwaan pihak tertentu kononnya pendedahan dan siasatan kes berprofil tinggi bermotifkan dendam politik, Anwar menegaskan tindakan undang-undang berlandaskan bukti adalah keutamaan untuk menyelamatkan negara daripada terus ketirisan.
"Kalau kita ambil tindakan, dituduh dendam. Kalau tidak ambil tindakan, dituduh berkompromi dan lembap.
"Arahan saya jelas kepada badan penguatkuasaan ... siasat secara profesional tanpa berlengah dan jangan bertolak ansur.
"Tidak kira parti mana, jawatan mana atau kaum mana, sekiranya terbukti bersalah menyakau harta rakyat, tangkap dan ambil tindakan," tegas beliau.
Tambah Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong turut menitahkan agar usaha pembersihan dan pembanterasan ketirisan dana awam tidak terhenti setakat isu Tabung Haji sahaja, sebaliknya diteruskan merentasi pelbagai agensi lain demi memelihara integriti negara.